PUTRAJAYA: Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) bakal menambah bilangan peserta untuk kumpulan siri berikutnya mulai tahun depan kepada jumlah keseluruhan 180 orang.
Komandannya, Brigadier Jeneral Fazal Abdul Rahman berkata, peningkatan 15 orang lagi berbanding sebelum ini hanya 165 orang bagi memberi peluang penyertaan ramai pegawai.
“Tempoh kursus jangka masa panjang ini masih kekal selama 52 minggu, tetapi kami sedia tambah bilangan peserta kepada 180 orang,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Graduasi dan Penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia Siri 50/2021 di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), di sini.
Seramai 163 orang termasuk 36 pegawai dari luar negara menerima sijil Diploma Pascasiswazah Pengajian Strategi dan Pertahanan yang juga dikenali sebagai passed staff college-joint yang disampaikan sendiri Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan turut disaksikan Presiden Puspahanas, Datuk Syed Zahrul Putra Syed Abdullah.
Lebih menarik, kumpulan graduan tersebut melengkapkan sambutan Jubli Emas penubuhan maktab itu pada 1971 lalu dan kali kedua majlis diadakan di sini sejak berpindah tahun lepas.
Menyentuh kematian seorang peserta, Mejar Muhammad Asrafhuddin Yusoff di ibu negara pada akhir bulan lalu, Fazal berkata, ia hanya kes terpencil akibat penyakit serangan jantung.
“Sebenarnya, ini juga bukan kali pertama, malah MTAT pernah merekodkan seorang peserta dari luar negara meninggal dunia ketika berkursus dan kes diuruskan dengan baik,” jelasnya.
Langkah segera, ujarnya, bahkan telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan semua pihak berkaitan termasuk urusan pengebumian dan aspek kebajikan waris keluarga yang terbabit.
Cuma tambah beliau, kes Allahyarham Muhammad Asrafhuddin agak unik kerana peserta itu telah kembali ke Rahmatullah kurang dua minggu sebelum majlis graduasi tersebut diadakan.
Namun, katanya lagi, arwah yang berkhidmat di Tentera Udara Diraja Malaysia sudah lengkap semua modul kursus berkenaan dan layak boleh dianggap sebagai graduan MTAT. – UTUSAN ONLINE