SEREMBAN: Mangsa banjir di Negeri Sembilan yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 141 orang setakat pukul 2 petang tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan menerusi maklumat yang dikongsikan memaklumkan, kesemua mereka daripada 40 buah keluarga itu ditempatkan di tiga buah PPS yang masih beroperasi di daerah Jelebu.
“Seramai 73 orang mangsa banjir masih lagi ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Undang Abdullah manakala 37 orang lagi di PPS Balai Raya Kampung Puom. Bakinya pula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang Hilir.
“PPS Dewan D’Sury yang sebelum ini menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi telahpun ditutup kira-kira pukul 11 pagi tadi,” katanya hari ini.
Sementara itu tambah maklumat tersebut, sejak bencana banjir melanda di negeri ini baru-baru ini, seramai 792 mangsa banjir telah ditempatkan di 19 buah PPS yang melibatkan 194 buah keluarga. – UTUSAN ONLINE