PETALING JAYA: Jumlah deposit yang harus dibayar oleh pihak yang ingin membida aset Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman dalam lelongan awam esok (Rabu, 22 Disember) telah dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM20,000.
Perkara itu dimaklumkan pihak firma guaman NHA Advocates & Solicitors.
“Dengan ini, mereka yang berminat untuk membida dinasihatkan membawa wang tunai secukupnya di tempat lelongan di rumah Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman di Premis No. 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
“Ini kerana hanya wang tunai sahaja yang diterima sebagai deposit,” jelas firman tersebut.
Firma itu menambah, bagi mereka yang berjaya membida aset yang dilelong, dinasihatkan juga membawa wang yang mencukupi atau menyediakan bank draf.
‘Ini bagi memastikan bayaran terus dibuat selepas proses pembidaan oleh kerana hanya wang tunai atau bank draf yang diterima sebagai kaedah pembayaran pada hari esok,” jelasnya.
Peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli yang mewakili plaintif OWA Resources bagi kes pelanggaran kontrak perniagaan untuk membekalkan produk bengkung dan girdle telah menerima kelulusan permohonan dari mahkamah bagi membuat lelongan awam kali kedua itu.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam meluluskan permohonan agar lelongan awam kali kedua dilakukan di rumah Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman di Premis No. 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, proses lelongan awam terpaksa dilakukan untuk kali kedua pada minggu ini kerana lelongan pertama gagal apabila seorang pembida, Mohammad Syazwan Ahmad Fiesol yang membuat bidaan tertinggi sebanyak RM132,000 menghilangkan diri selepas memberi alasan keluar untuk membuat bank draf sejurus selepas sesi bidaan berakhir.