Jubah dari Dubai jadi lubuk rezeki - Utusan Malaysia

Jubah dari Dubai jadi lubuk rezeki

NATASYA Alwi menunjukkan jubah terpakai dari Dubai jenis eksklusif di rumahnya di Lorong Kubur Kuda, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bermula dengan memakai sendiri jubah preloved atau terpakai dari Dubai, akhir­nya mencetus idea untuk dua beradik menjual pakaian itu bermodalkan sebanyak RM10,000.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Natasya Alwi, 31, berkata, dia bersama adiknya, Yasmin, 23, berniaga jubah terpakai itu sejak Ogos lalu dan tidak me­nyangka mendapat sambutan hangat.

Katanya, sehingga kini lebih 2,000 helai jubah itu sudah terjual menerusi usahanya membuat jualan secara langsung atau live dalam media sosial Facebook.

“Pada mulanya saya membeli jubah terpakai ini daripada saudara yang tinggal di Dubai. Selepas melihat jubahnya cantik, berkualiti dan selesa dipakai terdetik di hati untuk menjualnya di sini.

“Bermodalkan RM10,000, saya dan adik mula menjualnya secara online. Pada peringkat awal, hanya 20 hingga 30 helai dijual namun kuantitinya bertambah selepas itu,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Lorong Kubur Kuda, di sini baru-baru ini.

Kata Natasya, tanpa disangka, selepas sebulan kemudian, jubah terpakai itu menjadi ‘ke­gilaan’ ramai termasuk dari luar Kelantan dengan rata-rata pembeli menganggap ia berbaloi untuk dibeli pada harga mampu milik antara RM20 hingga RM150 sepasang.

“Jika dilihat pada jubah ini, material kainnya setanding jubah yang dijual di butik mahal dengan harga mencecah ratusan hingga ribuan ringgit.

“Rekaannya juga unik dan eksklusif seperti disulam dengan corak menarik, dilekatkan manik Swarovski, bunga tiga dimensi, kain lace dan lain-lain hiasan kreatif,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Jelas Natasya, jubah yang diambil dari Dubai itu dibeli secara pukal sebanyak 20,000 helai dengan saiz S hingga 5XL.

“Ketika ini, kebanyakan pe­langgan dari Perlis, Melaka, Sabah dan Sarawak. Bagi me­lariskan perniagaan, saya buat jualan murah tiga helai RM100 dan memberi tudung percuma, selain setiap pembelian jubah kali kedua pelanggan dapat diskaun RM2,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya