TUMPAT: Jika siakap dijual pada harga RM16 bagi setiap 100 gram di Langkawi, Box26 Cafe dekat sini pula menongkah arus apabila menawarkan siakap pada harga RM15 seekor yang digandingkan dengan sepinggan nasi goreng.
Gara-gara harga ‘mampu bayar’ itu, restoran berkonsep kontena terletak di tepi Sungai Kelantan, tidak jauh dari kepala Jambatan Sultan Yahya Petra kini popular dan mendapat julukan ‘lubuk siakap marhaen’.
Restoran unik itu diusahakan tiga beradik, Sharafi Saupi, 32, bersama abangnya, Shazwan, 38, dan adik mereka, Shahirman, 28, sejak 2016.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sharafi berkata, menu ditawarkan dalam tiga variasi, Nasi Goreng Siakap Tiga Rasa, Nasi Goreng Siakap Mangga dan Nasi Goreng Siakap Berlada yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu.
Katanya, walaupun set nasi goreng berlauk siakap bersaiz 800 gram seekor cuma berharga RM15, mereka tetap untung berniaga malah rezeki Box26 Cafe semakin mencurah-curah selepas isu siakap ‘kayangan’ di Langkawi tular.
“Kalau dulu permintaan sekitar 20 hingga 30 ekor sehari, namun selepas isu harga siakap di Langkawi, ramai pelanggan mahu mencuba menu nasi goreng siakap kami.
“Kini kami menjual hidangan sehingga 80 ekor siakap sehari dan kalau hari minggu pula, jumlahnya mencecah 120 ekor,” katanya.