JPV perketat syarat pindah babi seluruh Semenanjung Malaysia - Utusan Malaysia

JPV perketat syarat pindah babi seluruh Semenanjung Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peniaga babi yang ingin memindahkan haiwan itu di Semenanjung Malaysia kini terpaksa berdepan dengan pelbagai syarat ketat dan langkah pemantauan yang lebih teliti.

Ia susulan pengesahan kemunculan kes penyakit Demam Babi Afrika (ASF) melibatkan bangkai babi hutan yang ditemui di Bidor dan Sungai di Perak serta Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), sebanyak enam tindakan kawalan dan pencegahan mula dilaksanakan sebagai usaha membendung penularan kes berkenaan.

“Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar tidak panik kerana penyakit ini bersifat tidak zoonotik iaitu tidak berjangkit kepada manusia,” kata agensi tersebut menerusi kenyataan di sini.

Pada masa sama ujar JPV, setakat ini senario wabak adalah masih terkawal dan jangkitan hanya berlaku kepada babi hutan, manakala tiada ladang babi komersial yang terlibat kes ASF.

Keadaan itu disebabkan usaha pemindahan keluar babi dan produk haiwan tersebut dari zon pemantauan sentiasa dikawal dengan amat ketat bagi mengelak jangkitan berskala besar.

ASF merupakan demam berdarah akut yang disebabkan oleh serangan virus dari famili Asfar viridae dan penyakit ini boleh menyebabkan kematian 100 peratus dalam tempoh 10 hari.

Akhir Oktober lalu, kerajaan Sabah mengisytiharkan 22 daerah di negeri tersebut sebagai zon wabak setelah kes pertama mula dikesan pada 23 Februari lepas di Pitas, Bahagian Kudat.

Ia kemudian didapati berkembang pesat ke jirannya apabila kerajaan Sarawak pada 30 Ogos lalu dan tiga bahagian di negeri berkenaan diisytiharkan sebagai kawasan kawalan kes ASF.

Penyakit ini berasal dari beberapa negara Afrika awal 1920-an sebelum merebak ke Eropah pada 1950-an dan Amerika pada 1990-an serta akhirnya menembusi Asia pada 2018 lalu.

Mengulas lebih lanjut, JPV berkata, ASF mula dikesan di dua negeri di Semenanjung pada awal bulan ini hasil kajian dilakukan oleh pihak Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh, Perak.

“Mereka menggunakan teknik Real-Time Polymerase Chain Reaction dan analisis penjujukan yang menunjukkan pengesanan virus tersebut daripada strain Genotype II,” kata agensi itu.

Sehubungan itu, pihak JPV akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pelbagai agensi bagi melaksanakan pemantauan ketat.

Turut terbabit bersama ialah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan pihak yang berkaitan dalam urusan perladangan kelapa sawit.

Sesi libat urus dan kempen kepada pengusaha ladang babi komersial bagi memperketatkan biosekuriti ternakan juga dilakukan selain pensampelan dan pemeriksaan klinikal di kawasan.

Tindakan serupa juga tambah JPV, dilaksanakan di semua premis penjualan babi dan semua rumah sembelih haiwan berkenaan selain survelan lapangan dan penyiasatan berterusan.

“Penternak dan orang awam juga dimohon agar melaporkan segera sebarang kematian luar biasa melibatkan babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada pejabat JPV,” katanya.

Aduan juga boleh disalurkan terus kepada talian khas Bilik Pengurusan Krisis JPV di ibu pejabat Putrajaya menerusi 03-88702041 atau pun mana-mana bilik gerakan di peringkat negeri.

Kegagalan berbuat demikian boleh didakwa mengikut Akta Binatang (Pindaan 2013) yang jika disabitkan kesalahan di mahkamah akan dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000.

Perangkaan terkini JPV untuk sepanjang tahun ini merekodkan angggaran 1,857,838 ekor babi berjaya diternak di seluruh negara dengan Perak yang paling banyak iaitu 566,906 ekor. -UTUSAN  ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya