GEORGETOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menjalankan siasatan dalaman susulan kejadian seorang wanita terpaksa melahirkan bayinya di dalam sebuah kereta selepas mendapat rawatan awal di Hospital Seberang Jaya (HSJ) seperti yang tular di dalam media sosial.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ma’arof Sudin berkata, siasatan itu dibuat bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada semua lapisan masyarakat.
“JKNPP ingin merujuk kepada kenyataan yang tular di dalam media sosial Facebook berkenaan bayi dilahirkan di dalam kereta selepas pesakit mendapat rawatan awal di HSJ pada 27 Disember lalu.
“Pihak HSJ mengesahkan pesakit mendapatkan rawatan di hospital berkenaan dan pemeriksaan mendapati wanita tersebut mempunyai tanda-tanda kelahiran peringkat awal, dia kemudian dibenarkan pulang dengan nasihat doktor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular di dalam media sosial mengenai seorang wanita terpaksa melahirkan bayinya di dalam kereta gara-gara tidak sempat untuk tiba di hospital.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, wanita berkenaan pada mulanya pergi ke sebuah hospital kerajaan di Seberang Jaya kerana sudah menunjukkan tanda-tanda mahu bersalin.
Bagaimanapun, wanita itu mendakwa diminta pulang ke rumah terlebih dahulu kerana diberitahu masih belum tiba masa untuk melahirkan bayi kerana bukaan menunjukkan dua sentimeter.
Wanita itu kemudian merayu pihak hospital untuk membenarkannya dimasukkan ke wad memandangkan dia tinggal di Sungai Ara, yang agak jauh dari hospital, namun mendakwa tidak diendahkan.
Menurut Ma’arof , JKNPP telah mengadakan perjumpaan dengan waris wanita tersebut hari ini bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“JKNPP meminta orang awam atau pesakit yang mempunyai sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan agar berhubung terus dengan dengan pihak hospital berkenaan agar siasatan atau penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya. -UTUSAN ONLINE