JKNJ siasat kakitangan terlibat isu rumah tangga - Utusan Malaysia

JKNJ siasat kakitangan terlibat isu rumah tangga

AMAN RABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Isu rumah tangga penjawat awam sebuah klinik kesihatan di negeri ini yang tular di pelbagai platform media sosial hingga menjadi bualan ramai melanggar etika dan integriti kakitangan kerajaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Datuk Dr. Aman Rabu berkata, pihaknya mengambil maklum tentang kisah tersebut yang tular berkaitan isu pengkhianatan dan keadilan melibatkan penjawat awam.

“Hal ini dianggap sebagai satu perkara yang serius kerana ia melanggar Etika dan Integriti Penjawat Awam mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Sehubungan itu, jabatan ini sedang menjalankan siasatan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tular dalam media sosial isu rumah tangga membabitkan seorang pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan sebuah daerah di negeri ini.

Dalam video yang tersebar luas di pelbagai platform media sosial itu memaparkan seorang wanita membongkar kecurangan suaminya dengan seorang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) di rumah sewa suaminya.

Mengulas lanjut, Dr. Aman berkata, pihaknya turut memandang berat tindakan yang diambil oleh pengadu dalam menyebarkan isu berkenaan di media sosial.

“Di samping itu, jabatan juga memandang berat tindakan yang diambil oleh pihak pengadu dalam menyebarkan isu ini di media sosial. Jabatan ini ingin mengingatkan semua anggota untuk menggunakan saluran sedia ada dalam jabatan bagi menyampaikan semua isu atau aduan,” ujarnya.

Dalam video berkenaan, seorang wanita yang juga pegawai kesihatan mendedahkan perbuatan suaminya yang bertindak curang setelah pergi ke rumah sewa suaminya.

Lebih mengejutkan, dalam video yang sama, suami pengadu yang ‘kantoi’ mempunyai hubungan sulit bertindak menceraikan isterinya di hadapan wanita yang menjalinkan hubungan terlarang itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya