IPOH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak menyiasat kes seorang juruteknik maut akibat renjatan elektrik di sebuah taman tema air di negeri ini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa berusia 25 tahun sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan lampu limpah berhampiran kolam mandi di taman tema berkenaan.
Pengarahnya, Supian Alias berkata, mangsa yang telah bekerja selama empat tahun di taman tema itu ditemukan terjatuh ke dalam kolam tersebut dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh rakannya.
Katanya, lelaki terbabit yang dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 1.48 petang.
“Susulan kejadian itu, JKKP Perak telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan tersebut.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja menyelenggara lampu limpah di kawasan kolam mandi di taman tema air tersebut yang sering tidak berfungsi,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan, pihaknya telah mengeluarkan arahan larangan kacau ganggu sehingga tindakan penambahbaikan diambil oleh majikan.
Katanya, satu notis larangan telah dikeluarkan kepada majikan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti penyelenggaraan peralatan elektrik.
“JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Pihak jabatan memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab dalam mengenal pasti bahaya, membuat penilaian dan kawalan risiko yang berkesan,” katanya.
Tambah beliau, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif mengikut Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC). – UTUSAN ONLINE