PETALING JAYA: Kehadiran semula Akhyar Rashid dalam sesi latihan skuad negara disifatkan sebagai waktu yang tepat oleh pengendali negara, Tan Cheng Hoe menjelang aksi ‘hidup mati’ menentang di Stadium Nasional Singapura, malam ini.
Jelasnya, dengan memiliki Akhyar yang merupakan pemain terbaik kejohanan pada aksi pertama menentang Kemboja selain Faisal Halim yang bakal membuat penampilan pertama, ia memberi lebih banyak pilihan buat Cheng Hoe dalam mempertaruhkan jentera serangan terbaik.
Bekas jurulatih Kedah itu juga memiliki Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Shahrel Fikri Md Fauzi, Luqman Hakim Shamsudin serta pemain naturalisasi Guilherme de Paula untuk membentuk gandingan serangan terbaik merobek gawang Indonesia.
Hanya kemenangan mampu membawa skuad negara melangkah ke peringkat separuh akhir sekali gus sebarang peluang yang hadir tidak boleh dipersia-siakan barisan serangan.
Cheng Hoe bagaimanapun, masih meneliti siapa pemain yang akan mengetuai jentera serangan selain mengingatkan anak buahnya supaya tidak leka menyerang agar tidak dihukum pasukan Garuda.
“Tepat pada masanya semua pemain ada bersama pasukan kecuali Shahrul Saad dan Aidil (Zafuan Abd Radzak). Kami akan terus analisa perlawanan Indonesia dan mereka juga pasti lakukan perkara sama.
“Kita tidak tahu Indonesia akan bermain bertahan atau pun menyerang. Paling penting, pemain perlu kreatif dalam mencipta peluang dan kena lebih klinikal (menjaringkan gol).
“Pemain juga perlu lebih fleksibel kerana transisi Indonesia cukup laju. (Mampu dapat) gol awal atau pun tidak, kita juga perlu fokus ketika bertahan,” katanya ketika sidang media secara maya, semalam.