SHAH ALAM: Jenazah sembilan beranak yang maut dalam kemalangan berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya ELITE, dekat sini, kelmarin selamat dikebumikan dalam satu liang lahad hari ini.
Urusan pengebumian kesemua jenazah di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini, itu selesai kira-kira pukul 1.30 petang tadi.
Jenazah termasuk empat yang positif Covid-19 dikebumikan mengikut turutan usia bermula daripada Allahyarham Norul Naziah Buyong, 37, yang juga ibu kepada keluarga itu.
Ia diikuti anak sulung, Allahyarham Razarul Amin Abd. Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; dan Muhamad Aizat Syazwan, 10.
Empat lagi anak suri rumah itu yang turut maut iaitu Allahyarham Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.
Adik kepada Norul Naziah, Nurul Atika, 33, berkata keluarganya bersyukur kerana urusan pengebumian berjalan lancar dengan bantuan pelbagai pihak.
“Kami juga berterima kasih kerana semua jenazah dapat dikebumikan dengan sempurna dalam satu liang lahad.
“Keluarga redha dengan ketentuan Ilahi dan mendoakan mereka ditempatkan di kalangan para solehah,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian itu.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu yang turut diziarahi keluarga terdekat termasuk suami dan bapa kepada semua mangsa, Abd. Razak Majit, 50.
Terdahulu, jenazah sembilan beranak itu dimandikan dan disembahyangkan di Unit Forensik Shah Alam bermula pukul 9 pagi.
Kesemuanya kemudian dibawa menggunakan lapan van jenazah dengan turut diiringi sepasukan polis trafik yang mengawal lalu lintas.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang maut, Mohamad Rahimi Rolex, 27, selamat dikebumikan di tanah perkuburan sama, kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Kelmarin, perjalanan pulang 10 beranak ke rumah mereka di Padang Jawa di sini, bertukar tragedi apabila sembilan daripada mereka maut selepas menghadiri majlis kenduri keluarga di Melaka.
Kemalangan kira-kira 12.09 tengah malam itu berlaku ketika kereta Proton Wira dinaiki mereka berhenti di tepi jalan lebuhraya kerana mengalami kerosakan.
Namun, sebuah treler dipercayai telah merempuh kereta mangsa dan kereta dipandu Mohamad Rahimi serta sebuah Perodua Axia.