Jenazah Osman Sapian selamat dikebumi - Utusan Malaysia

Jenazah Osman Sapian selamat dikebumi

ANAK sulung kepada bekas Menteri Besar Johor, Nornekman Osman menabur bunga ke atas pusara Allahyarham Osman Sapian di Tanah Perkuburan Islam Al Raudhah, Taman Mount Austin, Johor Bahru di Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jenazah bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Taman Mount Austin di sini pada pukul 3.55 petang ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di kediamannya di Jalan Sentosa, Kampung Dato’ Onn, Larkin pada pukul 2.20 petang tadi setelah bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi.

Ketibaan jenazah disambut ahli keluarga dan rakan-rakan termasuk pemimpin pelbagai parti politik dan kepemimpinan kerajaan negeri.

Antara yang hadir Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh; ADUN Semerah, Mohd. Khuzzan Abu Bakar; ADUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad; ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali dan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.

Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Ar-Raudhah Kampung Dato’ Onn untuk disembahyangkan sebelum dibawa terus ke tanah perkuburan tersebut untuk dikebumikan.

Osman, 70, yang juga ADUN Kempas menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 11.45 malam tadi setelah disahkan abang Allahyarham, Datuk Aziz Sapian. 

Pada 13 Oktober lalu, Osman dimasukkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Johor kerana diserang strok ringan sebelum dipindahkan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan selepas tahap kesihatannya merosot.

Dilahirkan pada 25 Disember 1951, Allahyarham meninggalkan tiga orang isteri termasuk Datin Nora Mohd. Som beserta tujuh orang anak dan seorang lagi yang masih berada dalam kandungan.

Osman dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018 dan menjawat jawatan berkenaan bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019. 

Terdahulu, Hasni menyifatkan pemergian Osman sebagai kehilangan besar bagi negeri dan arena politik Johor khususnya.

Che Zakaria pula memberitahu, pemergian Osman satu kehilangan bukan sahaja buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, tetapi keseluruhan parti itu termasuk di peringkat pusat.

“Saya telah bekerjasama dengan beliau sejak awal penubuhan Bersatu iaitu pada 2017 lalu, jadi memang terasa dengan kehilangan ini,” katanya.

Sementara itu, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri antara yang terawal hadir memberi penghormatan kepada Osman di kediamannya di Kampung Dato’ Onn, selain menjadi tumpuan umum seawal pukul 10 pagi. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya