PETALING JAYA: Biarpun telah menjuarai Liga Super sebanyak lapan kali berturut-turut namun Johor Darul Ta’zim (JDT) terus ‘bernafsu’ untuk mengekalkan status sebagai pasukan terbaik Liga Malaysia (Liga M).
Buktinya, skuad Harimau Selatan bakal mengharungi persiapan pra musim mereka bagi mengharungi Liga Malaysia 2022 dengan mengadakan aksi persahabatan menentang empat kelab Eropah iaitu Spartak Moscow dan Rodina Moscow (Russia); Riga FC (Latvia) serta MSK Zilina (Slovakia) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Januari depan.
“Skuad Harimau Selatan akan melapor diri untuk pra-musim pada bulan Januari dan kemudiannya akan terbang ke UAE untuk beberapa siri perlawanan persahabatan dan aktiviti bersama pasukan.
“Ini adalah kali kedua JDT melawat UAE untuk pra-musim, sama seperti yang dilakukan pada tahun 2020. Pandemik Covid-19 telah menghalang perancangan-perancangan untuk pra-musim yang berpangkalan di luar negara pada 2021,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.
JDT menutup tirai musim 2021 sebagai juara Liga Super buat kali kelapan berturut-turut tetapi gagal untuk melengkapkan kejuaraan berganda setelah tewas kepada Kuala Lumpur City dalam aksi final Piala Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest memaklumkan beberapa perkembangan terkini berhubung pemain yang keluar masuk pasukan itu bagi musim 2022.
Menurutnya JDT sedang dalam rundingan untuk menandatangani seorang pemain tempatan dan empat pemain luar negara bagi musim 2022 dan akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat.
“Hong Wan, bekas pemain Wolverhampton Wanderers telah menerima pasport Malaysia dan dia akan memperkuatkan skuad JDT 2022.
“Seorang daripada empat pemain luar negara baru akan digandingkan dengan Bergson manakala yang lain akan diserapkan ke JDT II untuk digunakan dalam sistem ‘rotation’.
“JDT turut akan meminjamkan Irfan Fazail dan Stuart Wilkins ke Sabah, Fadhli Shas dan Syazwan Andik ke Melaka United dan kini sedang berbincang dengan beberapa kelab untuk meminjamkan Syafiq Ahmad. JDT juga akan merekrut Endrick dos Santos untuk musim 2023, dengan kemungkinan untuk dinaturalisasi,” ujar Prest. – UTUSAN ONLINE