PUTRAJAYA: Setakat semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerima sejumlah 6,113 kilogram (kg) al-Quran rosak akibat banjir untuk dilupuskan.
Jawi menerusi kenyataan memaklumkan, al-Quran itu diserahkan kepada Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Kuala Lumpur.
“Jawi sedia membantu melupuskan al-Quran yang rosak akibat banjir mengikut panduan syariat dengan melaksanakan perkhidmatan itu secara percuma. Orang ramai yang mahu melupuskan al-Quran yang rosak boleh menghubungi talian 03-22749333 sambungan 1410,” katanya.
Jawi berkata, al-Quran yang diterima akan ditimbang terlebih dahulu sebelum helainnya diceraikan dan seterusnya melalui proses merincih dan kemudiannya dilupuskan dalam relung pembakaran.
Selain Jawi, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan turut menyediakan kutipan khas al-Quran rosak untuk dilupuskan di masjid dan surau bermula Sabtu ini khusus bagi penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. – UTUSAN ONLINE