Jangan terganggu pihak tertentu gagalkan rangkaian 5G - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Jangan terganggu pihak tertentu gagalkan rangkaian 5G – Muhyiddin

TAWARAN tersebut melibatkan pakej telefon pintar 5G pelan data di bawah jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan mempercepatkan pelan digitalisasi negara termasuk pelaksanaan jaringan 5G yang menyeluruh di negara ini dalam merangsang pertumbuhan ekonomi masa depan.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh terganggu dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan pelaksanaan sebuah projek strategik yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara dan bakal menyediakan perkhidmatan rangkaian 5G yang lebih murah kepada rakyat.

Katanya, ini kerana negara sudah agak terlewat dalam melaksanakan perkhidmatan rangkaian 5G kerana syarikat-syarikat telekomunikasi mempunyai keutamaan yang berbeza.

“Atas pertimbangan keuntungan, syarikat-syarikat telekomunikasi hanya berminat untuk menyediakan perkhidmatan 5G di kawasan-kawasan berpenduduk padat dengan permintaan yang tinggi, maka kawasan-kawasan luar bandar dengan jumlah penduduk yang rendah dan permintaan yang rendah akan terbantut.

“Kerana itu kerajaan memutuskan untuk menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan untuk mempercepatkan roll out 5G di seluruh negara dan menawarkan perkhidmatan 5G dengan harga yang murah kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar.

“Jadi, janganlah ada pihak yang sengaja ingin melambatkan pelaksanaan roll out 5G untuk kepentingan tertentu dengan mempolitikkan isu DNB. Saya berharap kerajaan akan meneruskan roll out 5G berdasarkan model Single Wholesale Network seperti yang telah diputuskan.

“Saya berasa cukup hairan pihak yang mempertahankan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekarang ingin menyamakan DNB dengan 1MDB. Tolonglah, jangan pengaruhi the intelligence of Malaysians,” katanya dalam ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul serta Setiausaha Agung Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Edward Linggu.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, kerajaan juga disaran agar mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan pelaburan pihak swasta di dalam negara termasuklah pelaburan dalam projek pembangunan infrastruktur strategik negara seperti High Speed Rail (HSR) yang boleh menjana pulangan ekonomi yang besar kepada Malaysia.

Katanya, ini kerana negara tidak perlu menunggu pihak Singapura untuk terlibat semula dalam projek tersebut, sebaliknya sebuah konsortium swasta boleh diwujudkan untuk membina projek ini dari selatan ke utara tanah air dengan pembiayaan pihak swasta sepenuhnya termasuk menanggung kos pengambilan tanah.

“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, kita telah batalkan perjanjian dengan Singapura untuk pembinaan HSR atas faktor kedaulatan negara.

“Perjanjian HSR yang ditandatangani oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini mempunyai terma-terma berat sebelah yang boleh dikatakan mencabuli hak kedaulatan negara kita, ini termasuk kawalan Singapura ke atas AssetsCo yang akan mengendalikan operasi HSR di Malaysia.

“Dengan pembatalan perjanjian HSR dengan Singapura, kita telah mengembalikan semula kedaulatan negara kita.

“Tanpa penglibatan Singapura, kita mempunyai kawalan sepenuhnya dalam pelaksanaan projek infrastruktur strategik negara ini dan kita boleh buat keputusan yang melindungi kepentingan negara kita tanpa campur tangan pihak asing,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya