Jangan sokong pindaan Akta 342 sehingga diperjelaskan - Koo Ham - Utusan Malaysia

Jangan sokong pindaan Akta 342 sehingga diperjelaskan – Koo Ham

NGEH KOO HAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham meminta Ahli-Ahli Parlimen tidak menyokong pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 apabila dibentangkan di Dewan Rakyat nanti kerana banyak lagi isu-isu berkaitan yang belum diperjelaskan dan diatasi.

Menurut beliau, walaupun kerajaan telah dua kali mengubah pindaan-pindaan yang hendak dibuat kepada Akta 342 itu selepas mendapat bantahan daripada Ahli-ahli Parlimen pembangkang, didapati ia masih tidak boleh diterima kerana terdapat isu yang perlu ditangani dan diperjelaskan terlebih dulu.

“Isu-isu tersebut ialah pertama melibatkan penalti apabila jumlah RM2 juta untuk perbadanan adalah terlalu tinggi manakala kuasa diberikan kepada menteri untuk membuat peraturan yang mewujudkan sesuatu kesalahan yang boleh didenda sehingga RM1 juta untuk sesuatu pertubuhan perbadanan tanpa melalui Parlimen, adalah tidak boleh diterima.

“Selain itu, Ketua Pengarah atau pegawai yang diberi kuasa boleh mengeluarkan kompaun sehingga RM500,000 untuk sesuatu pertubuhan atau perbadanan akan berisiko mengundang penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Koo Ham juga meminta penjelasan adakah penjawat awam lain selain pegawai kesihatan boleh dilantik sebagai pegawai yang diberi kuasa, kerana dalam taklimat yang diberikan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 13 Disember lalu menyatakan pegawai-pegawai daripada tujuh agensi telah dilantik sebagai pegawai yang diberi kuasa untuk melaksanakan akta itu.

“Pada hemat saya, ini bertentangan dengan peruntukan akta ini, kerana sepatutnya takrif ‘mana-mana orang yang sesuai’ di bawah Seksyen 2 akta itu hendaklah ditafsir sebagai terhad kepada pegawai-pegawai kesihatan sahaja mengikut peraturan tafsiran ‘ejusdem generis‘(sejenis). 

“Pendirian ini disokong oleh Seksyen 5 yang memperuntukkan bahawa pegawai-pegawai polis, kastam, imigresen dan pegawai-pegawai dari jabatan dan agensi kerajaan yang lain harus memberi bantuan apabila diminta oleh mana-mana pegawai yang diberi kuasa. 

“Oleh itu, mereka tidaklah termasuk dalam pegawai-pegawai yang diberi kuasa. Seksyen 23 menyatakan mana-mana pegawai yang diberi kuasa boleh hadir di mahkamah dan menjalankan apa-apa pendakwaan. 

“Adakah niat akta ini untuk memberi kuasa kepada ahli Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), polis dan lain-lain pegawai yang tidak berkaitan dengan kesihatan untuk menjalankan pendakwaan kes kesihatan di bawah Akta 342?,” soalnya.

Koo Ham juga membangkitkan isu keizinan atau kelulusan Pendakwa Raya sebelum kompaun dikeluarkan kerana beliau difahamkan beribu-ribu kompaun telah dikeluarkan tanpa keizinan atau kelulusan pihak pendakwaan itu sungguhpun Ordinan Darurat 2021 mempunyai peruntukan yang sama dalam pindaan tersebut, justeru adakah peruntukan itu sesuai untuk dilaksanakan berkaitan dengan kompaun.

Beliau juga menjelaskan SOP yang berubah setiap hari bukannya undang-undang melainkan ia diwartakan dan ramai pegawai polis telah mengeluarkan kompaun mengikut SOP yang diumumkan. 

Tegasnya, SOP merupakan arahan Ketua Pengarah sahaja dan bukan undang-undang melainkan diwartakan dan ramai pegawai terkeliru tentang SOP itu termasuk Ketua Polis Negara dan Menteri Pertahanan sebelum ini.

“(Sepatutnya) mereka yang tidak mematuhi SOP hendaklah diberitahu tentang arahan Ketua Pengarah dan diberi peluang untuk mematuhinya. Hanya selepas diberitahu dan mereka masih tidak mematuhinya, barulah ia menjadi satu kesalahan,” ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan adakah pegawai yang diberi kuasa boleh melaksanakan penyiasatan termasuk tangkapan di bawah Kanun Tatacara Jenayah jika peruntukan penalti adalah penjara tidak lebih daripada dua tahun kerana Seksyen 21B yang dicadangkan memberi kuasa untuk menjalankan siasatan mengikut Kanun Aturcara Jenayah dengan penalti yang dicadangkan di bawah Seksyen 24 adalah penjara tidak melebihi 2 tahun. 

Jelasnya, Jadual 1 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan kesalahan selain daripada kesalahan di bawah Kanun Keseksaan di mana hukumannya tidak melebihi tiga tahun atau jika hanya boleh dikenakan denda, maka polis tidak boleh menangkap tanpa waran.

“Isu yang perlu dijelaskan ialah kesalahan di bawah Akta 342 yang dipinda itu merupakan satu kesalahan lazim ditangkap atau tidak,” soalnya lagi.

Menurut Koo Ham, tanggungjawab pengamal perubatan untuk memberitahu Pegawai Kesihatan tentang penyakit berjangkit jika mereka ‘mempunyai sebab untuk percaya atau mengesyaki‘ adalah terlalu luas dan membebankan kepada pengamal perubatan, seperti dalam Pindaan kepada Seksyen 10  juga perlu diperjelaskan dengan lebih lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya