PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan sensasi, Ahmad Iqbal Zulkefli tampil memberi reaksi berhubung ramai pihak yang meminta dirinya untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan.
Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu Hujan itu memuat naik reaksi coretan panjangnya itu di Instastory miliknya.
Menurut Iqbal, dia sebaiknya mengutamakan mereka yang ada di depannya, tidak kira bangsa atau negara.
“Ramai yang berkata kepada saya, rakyat Malaysia ramai yang susah. Bantulah orang Malaysia. Begini, apa yang ada di depan saya, yang mahu saya bantu.
“Saya utamakan dahulu. Tidak kira mereka dari negara mana, kerana mereka juga manusia,” katanya di Instastory.
Mengulas lanjut, dia juga ada menghulurkan bantuan ke Malaysia namun tidak dikongsikan di media sosial.
“Bantuan ke Malaysia juga saya bagi cuma jangan memaksa saya untuk menunjukkan di media sosial. Ini privasi saya.
“Jadi, bagaimana dengan ribuan orang DM (pesanan di Instagram) meminta bantuan, tetapi tidak dibantu? Saya ada bantu cuma tidak mampu memeriksa informasi yang jelas dan satu per satu,” tulisnya lagi.
Dalam pada itu, Iqbal juga lebih selesa memberi bantuan sendiri atau orang yang dipercaya bagi mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Oleh kerana banyak juga yang tidak jujur, banyak yang meminta perkara yang bukan keperluan.
“Saya lebih senang memberikan bantuan dengan tangan saya sendiri ataupun, orang yang saya percaya untuk menghulurkannya,” ujarnya.