PETALING JAYA: Personaliti radio dan televisyen, Farish Aziz yang bertindak sebagai pengacara di pitchside (tepi padang) semasa perlawanan akhir Piala Malaysia berkongsi mengenai isu individu yang tidak disebut namanya turun ke padang bagi meraikan kemenangan Kuala Lumpur City (KL City).
Dalam perkongsiannya di Facebook, personaliti terkenal itu berkata, jangan kasi salah emcee (pengacara) kalau nama tidak disebut, melainkan pengacara itu sengaja atau lupa.
Menurutnya, ini kerana senarai nama atau protokol telah disediakan oleh penganjur untuk pengacara itu membuat sesuatu pengumuman.
“Jadi dia akan baca saja nama-nama itu. Marahlah organiser (penganjur), kesian emcee,” katanya.
KL City menewaskan kelab gergasi negara, JDT 2-0 dalam saingan Piala Malaysia, yang memasuki usia 100 tahun, semalam.
Tular dalam media sosial mengenai seorang menteri yang mengeluarkan kenyataan berbau merajuk kerana kehadirannya ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di antara KL City FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak disedari pengacara yang bertugas.
Menerusi status di Facebook, menteri itu berkata, selain tidak disebut nama, pengacara juga tidak menjemputnya turun ke padang bagi meraikan pasukan KL City yang menjuarai Piala Malaysia setelah 32 tahun menanti.