GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan kebimbangan berhubung pencemaran pelet plastik di kebanyakan kawasan pantai di negeri ini termasuk di sekitar Batu Ferringhi, dekat sini.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, bahan kimia toksik yang berfungsi sebagai penambah (aditif) dalam plastik dan bahan kimia toksik itu boleh mengancam kesihatan manusia dan alam sekitar.
Jelasnya, beberapa kesan terhadap kesihatan yang dikaitkan dengan bahan kimia itu termasuk yang menyebabkan kanser atau mengubah aktiviti hormon yang boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk menjejaskan sistem pembiakan, pembesaran, dan gangguan kognitif.
Tambah beliau, kebanyakan bahan tambah kimia toksik tersebut berupaya memberi kesan buruk ke atas kesihatan, berkekalan dalam alam sekitar dan berkumpul dalam organisma yang terdedah kepadanya.
“Pelet plastik ini adalah bahan yang digunakan dalam pembuatan plastik dan diketahui boleh tercicir keluar ketika proses pembuatan dan pengangkutan dan ditemui di pantai seluruh dunia termasuk di Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, spelet plastik juga bertindak sebagai ‘span toksik’ yang mana menarik bahan cemar di sekeliling ke permukaan air. “Bahan cemar ini kemudian memasuki rantaian makanan di sekelilingnya apabila ikan dan hidupan laut tersebut dimakan, keadaan ini akan menyebabkan kesan yang besar terhadap ekosistem,” jelasnya.
Bagi mengatasi masalah itu, tambah Mohideen, CAP menggesa pihak berkuasa supaya bukan hanya memberi tumpuan kepada kempen menentang plastik kepada hanya beg plastik sekali guna semata-mata.
Sebaliknya, tegas beliau, kerajaan juga perlu membentuk undang-undang merangkumi pengeluaran, penggunaan, kitar semula dan pelupusan plastik.
“Dalam masa sama, kerajaan perlu menggalakkan kepada kempen kurangkan penggunaan plastik, mengharamkan penggunaan bahan kimia toksik dalam plastik dan mengharamkan perdagangan sisa plastik,” katanya. – UTUSAN ONLINE