‘Jambatan kampung kami tenggelam 5 kali setahun’ - Utusan Malaysia

‘Jambatan kampung kami tenggelam 5 kali setahun’

JAMBATAN besi merentasi Sungai Ketil tenggelam buat kali kelima tahun ini mengakibatkan kira-kira 100 penduduk Kampung Kerinting, Gua Musang, Kelantan terputus hubungan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jambatan besi merentasi Sungai Ketil di Kampung Kerinting, di sini tenggelam buat kali kelima tahun ini akibat limpahan air sungai, sekali gus menyebabkan kira-kira 100 penduduk terputus hubungan sejak semalam.

Difahamkan, jambatan besi menghubungkan Kampung Kerinting dengan Bandar Lama Gua Musang tersebut memang kerap tenggelam setiap kali musim tengkujuh melanda, sejak mula-mula dibina 30 tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati paras air Sungai Ketil masih tinggi dan jambatan itu kini ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan sejak pukul 10.30 pagi semalam bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Seorang penduduk, Ali Mamat, 56, berkata, sudah menjadi perkara biasa apabila berlaku hujan lebat air Sungai Ketil akan cepat melimpah sehingga menenggelamkan jambatan besi yang dibina rendah.

“Jambatan besi ini adalah laluan pintas dari Bandar Lama ke Kampung Kerinting, selain itu ia juga laluan alternatif untuk ke Kampung Nerang, Kampung Kundur, Kuala Betis, Lojing serta Cameron Highlands. 

“Termasuk hari ini, sudah lima kali jambatan besi ini tenggelam dan menyebabkan kami terputus hubungan. Kami tidak dapat menggunakan jambatan sehinggalah air sungai surut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Seorang lagi penduduk, Siti Mariam Ismail, 45, berkata, jambatan itu selama ini menjadi laluan penting untuk keluarganya ke Bandar Lama Gua Musang kerana jarak perjalanan menggunakan jalan utama lebih jauh.

“Kali terakhir jambatan ini tenggelam kira-kira dua bulan lalu. Ketika itu hujan lebat berterusan lebih lima jam. Sudah lebih 30 tahun kami berdepan perkara ini.

“Tahun ini sudah lima kali ia tenggelam dan menyukarkan kami. Jadi harap sangat jambatan ini segera dinaik taraf kepada jambatan yang lebih tinggi dan selamat untuk kegunaan penduduk,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya