Jambatan bailey ganti jambatan hanyut arus Sungai Perias - Utusan Malaysia

Jambatan bailey ganti jambatan hanyut arus Sungai Perias

ABDUL Rahman Mohamad (tiga dari kanan) meninjau bekalan makanan yang akan dihantar ke kampung Orang Asli menggunakan helikopter Mi-17 milik Unit Udara JBPM di Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memasang jambatan sementara jenis ‘bailey’ untuk kegunaan lebih 5,000 masyarakat Orang Asli di Pos Tohoi selepas jambatan sedia ada dihanyutkan arus Sungai Perias, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersetuju membantu membina jambatan besi tersebut secepat mungkin memandangkan penduduk di situ sudah seminggu terputus hubungan.

Katanya, mereka yang terkandas adalah penduduk di sembilan pos penempatan iaitu Pos Tohoi, Pos Simpor, Pos Gob, Pos Hau, Pos Balar, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Pasik dan Kuala Wook.

“Kita berharap pembinaan jambatan bailey  dapat disegerakan supaya 1,717 ketua isi rumah (KIR) di sembilan penempatan itu tidak terus terputus hubungan. Mereka kini berdepan kesukaran untuk keluar ke bandar bagi melakukan urusan harian termasuk menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya kepada pemberita di Padang Pusat Sivik Gua Musang, di sini semalam.

Terdahulu beliau meninjau proses penghantaran bekalan makanan kepada Orang Asli di Pos Gob dan Pos Simpor terjejas banjir menggunakan helikopter Mi-17 milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN