JERANTUT: Kira-kira 2,000 penduduk di lima buah kampung pedalaman Hulu Tembeling terputus hubungan luar apabila beberapa kawasan laluan di jalan raya antara Kampung Tuit, Kuala Tahan ke Mat Daling, Hulu Tembeling berlaku mendapan tanah dan tebing runtuh berikutan musim tengkujuh sejak lima hari lalu.
Antara laluan yang dikenal pasti berlaku mendapan tanah dan tebing runtuh, iaitu jalan berdekatan Kem Nusa, Kuala Tahan, perhentian Bukit Awan di Kampung Pagi dan laluan Bukit Komel antara Kampung Kuala Sat ke Kampung Mat Daling.
Difahamkan beberapa kawasan mendapan pernah dibaik pulih pada pertengahan tahun ini, tetapi struktur permukaan jalan raya mendap semula termasuk berlaku runtuhan tebing berikutan musim tengkujuh awal bulan ini.
Senario berkenaan mengundang masalah bagi penduduk lima buah kampung pesisir Sungai Tembeling, iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai di mukim Hulu Tembeling yang tidak dapat keluar ke bandar Jerantut.
Hal itu menyebabkan aktiviti sektor ekopelancongan di lima buah perkampungan Melayu pesisir Sungai Tembeling ‘terbantut’ selepas musim tengkujuh ini sekiranya usaha membaik pulih dan menaik taraf jalan tidak dilakukan segera oleh kerajaan.
Penduduk Kampung Kuala Sat, Zulkifli Jamaludin, 58, berkata, keadaan jalan raya teruk seperti baru lepas ‘gempa bumi’ dan tidak boleh dilalui kenderaan kerana mendapan tanah dan kelebaran mencapai separuh laluan berkenaan.
“Struktur jalan yang sudah teruk dan rosak seperti kejadian gempa bumi apabila terdapat lubang akibat mendapan tanah di laluan berdekatan Bukit Awan.
“Hal ini boleh mengundang risiko keselamatan pengguna malah kenderaan sendiri akan mengalami kerosakan roda (tayar) serta boleh tersangkut di bahagian bawah,” katanya di Kampung Kuala Sat di sini semalam.
Penduduk Kampung Pagi, Mustapa Abdullah, 31, berkata, kebanyakan laluan di situ memang tidak selamat kerana setiap kali musim tengkujuh berlaku mendapan dan tebing runtuh.
“Ia ditambah pula semua kawasan permukaan di laluan Jalan Tuit ke Hulu Tembeling tidak begitu kuat kerana kerap kali ‘dilanyak’ lori balak termasuk laluan ke kampung saya sebelum musim tengkujuh.
“Pihak berwajib perlu melihat senario ini dan sewajarnya memberhentikan pengeluaran balak. Bukan sahaja jalan rosak malah berlaku kerosakan alam sekitar dan musnahnya habitat haiwan liar di Hulu Tembeling,” katanya.
Penggiat dan pengusaha ekpelancongan, Khamri Basri, 41, pula menambah, kerosakan jalan raya di Hulu Tembeling sangat memberi kesan kepada pembangunan sektor ekopelancongan perkampungan Melayu di pesisir Sungai Tembeling.
“Baharu sahaja kami hendak mula ‘cari makan’ dan tambah pendapatan dalam tempoh fasa pemulihan pandemik Covid-19, jalan pula rosak dan tidak boleh dilalui kenderaan penduduk dan juga pengunjung domestik tidak akan datang,” katanya.
Jelasnya, pengangkutan bot Sungai Tembeling masih belum pulih kerana musim tengkujuh, tetapi pengunjung luar yang melancong ke Taman Negara dan Hulu Tembeling gemar memilih jalan darat kerana lebih cepat dan selamat. – UTUSAN ONLINE