Jalan Lojing-Cameron Highlands selamat dilalui - Utusan Malaysia

Jalan Lojing-Cameron Highlands selamat dilalui

LALUAN di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing yang mengalami kerosakan dalam kejadian tanah runtuh awal tahun lalu kini selamat dilalui semua jenis kenderaan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jalan utama menghubungkan Tanah Tinggi Lojing dengan Cameron Highlands, Pahang, dekat sini yang pernah runtuh awal tahun lalu, selamat untuk dilalui semua jenis kenderaan ketika musim tengkujuh ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo bagaimanapun berkata, agensi berkaitan giat memantau kawasan cerun yang berisiko runtuh dan mengancam nyawa pengguna jalan raya.

Bahkan kata beliau, anggota polis sendiri yang berpangkalan di Pondok Polis Lojing, dekat sini turut bertugas membuat rondaan berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna laluan tersebut.

“Pihak polis memerlukan kerjasama orang awam dan penduduk sekitar supaya segera memaklumkan kepada kita sekiranya mengesan pergerakan tanah runtuh. Jadi kita boleh ambil tindakan awal dengan menutup jalan.

“Setakat ini jalan menghubungkan Gua Musang dengan Cameron Highlands ini selamat dilalui tanpa sebarang risiko, walaupun hujan lebat kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Choon Foo, pengguna jalan raya yang menggunakan laluan Tanah Tinggi Lojing tidak berdepan masalah untuk ke Cameron Highlands, biarpun laluan utama di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands runtuh minggu lalu.

“Dari segi laluan untuk ke Cameron Highlands setakat ini tidak ada masalah dari jalan Gua Musang-Lojing dan seterusnya ke Cameron Highlands. Sekiranya mahu ke Perak, sila guna jalan Lojing ke Cameron Highlands-Ringlet dan ke Tapah sebelum ke Ipoh,” katanya.

Pada awal tahun lalu, laluan di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Tanah Tinggi Lojing menghala ke Cameron Highlands pernah terputus akibat tanah runtuh namun telah dibuka semula selepas kerja-kerja baik pulih selesai beberapa bulan kemudian.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya