PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengadakan program bantuan dan pembersihan pasca banjir Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia Agensi Agama di daerah Mentakab, Pahang.
Jakim dalam satu kenyataan memaklumkan, misi skuad itu diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary disertai lebih 500 petugas daripada warga 14 agensi agama.
Katanya, ini termasuk sukarelawan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para mahasiswa.
“Misi kali ini menggunakan lima buah bas dan lebih dari 30 buah kenderaan pacuan empat roda dan van.
“Mereka membuat kerja-kerja pembersihan di 523 buah rumah dan agihan kit solat, toto dan lain-lain termasuk sumbangan makanan oleh Program Dapur It’am Jabatan Agama Islam (Jawi) kepada penduduk daerah Mentakab itu,” katanya hari ini.
Jakim pada masa sama berharap bantuan yang disampaikan itu dapat meringankan bebanan yang ditanggung penduduk Mentakab yang ditimpa musibah itu. – UTUSAN ONLINE