SEREMBAN: Wanita mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin akhirnya dapat bersatu dengan bayi lelaki yang dilahirkan pada November lalu selepas dibenarkan keluar dari hospital semalam.
Adiknya, Fazariah Nordin, 38, berkata, keadaan kesihatan kakaknya masih sama seperti sebelum ini iaitu tiada sebarang tindak balas.
“Ya, kakak sudah keluar hospital semalam. Masih kena pantau lagi luka kakak akibat pembedahan sebelum ini.
“Luka dia kena jahit balik dua hari lepas, belum kering lagi itu yang masih dalam pemantauan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, seorang lagi adiknya, Fauziah Nordin, 40, turut berkongsi video di media sosial Tik Tok @ziahzara5 dan Facebook tentang rasa hatinya yang sebak melihat Jahidah dapat bersatu dengan anaknya.
“Bila letak Nufail di riba ibu dia.. hati sendiri sebak nampak kakak mengalir air mata, dia tak mampu nak peluk, nak cakap.. Nufail elok je senyap bila kami kami letak kat dada ibu dia..
“Sebak.. diri sendiri tak boleh tahan mengalir air mata lihat baby dan ibu.. Terima kasih doktor, nurse, semua yang bantu jaga kakak dengan baik..,” kongsinya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan kecemasan kira-kira pukul 9 malam, 30 November lalu.
Bayi yang diberi nama J Eshan Nufail atau mesra dengan panggilan ‘Baby J’ itu sihat dan dilahirkan dengan berat dua kilogram.
Pada 9 Disember lalu, Jahidah terpaksa menjalani pembedahan sekali lagi selepas terdapat jangkitan kuman pada luka tempat yang dibedah.
Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.
Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
Sebelum ini pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma.- UTUSAN ONLINE