Jaga kebersihan, elak penyakit bawaan banjir - Noor Hisham

Jaga kebersihan, elak penyakit bawaan banjir – Noor Hisham

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pihak yang terlibat dengan banjir diminta mengambil langkah berhati-hati berikutan terdapat peningkatan kejadian penyakit berjangkit berkaitan bencana itu. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka yang terlibat dengan misi menyelamat dan membantu termasuk penduduk yang menjadi mangsa dinasihatkan menggunakan alat pelindung diri seperti but getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya jika melibatkan banjir lumpur.

Katanya, tindakan itu untuk mengelakkan sentuhan terus dengan air banjir bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian penyakit berjangkit berkaitan banjir seperti penyakit leptospirosis iaitu air kencing tikus, melioidosis dan beberapa lagi penyakit bawaan air dan makanan. 

“Orang ramai dinasihatkan agar mengambil air minum dan makanan yang bersih dan tidak tercemar bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun, hepatitis A dan demam kepialu.

“Selain itu, semua mangsa banjir, petugas dan sukarelawan dinasihatkan sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri semasa banjir iaitu membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan, selepas menyentuh barang yang dicemari air banjir atau kumbahan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook miliknya, hari ini. 

Noor Hisham berkata, semua pihak juga hendaklah sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran banjir seperti kediaman masing-masing dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). 

Katanya, pembuangan sampah di merata tempat akan mendatangkan risiko penyakit, pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus dan nyamuk. 

“Semasa banjir, hujan akan menyebabkan bekas-bekas menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles hingga boleh menyebabkan populasi nyamuk bertambah dan boleh merebakkan penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi, chikungunya dan malaria tidak kira semasa banjir atau selepas banjir.

“Sekiranya mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, batuk dan sebagainya, segera dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di PPS banjir atau fasiliti kesihatan yang berhampiran,” katanya. 

Beliau berkata, pasukan perubatan turut disediakan di PPS banjir terutama di PPS yang besar, membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa-mangsa banjir.

“Malah, ujian saringan Covid-19 dilakukan juga ke atas mangsa banjir sebelum memasuki PPS bagi mengesan awal jangkitan Covid-19 serta memastikan tiada penularan berlaku di PPS,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya