Jaga diri semua - Agong - Utusan Malaysia

Jaga diri semua – Agong

AL-SULTAN Abdullah menyantuni mangsa banjir di PPS CIAST Seksyen 19, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Take care everybody (Jaga diri semua).” 

Demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencemar duli menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Seksyen 19, di sini, hari ini.

Turut berangkat mengiring Seri Paduka ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Al-Sultan Abdullah yang beruniform celoreng tiba di pekarangan PPS itu dengan memandu kenderaan pacuan empat roda pada pukul 9.50 pagi.

Seri Paduka kemudian diberikan taklimat menyeluruh oleh Pegawai Daerah Klang, Mohd. Faizal Abdul Klang mengenai situasi terkini banjir terutama di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini.

Al-Sultan Abdullah seterusnya berkenan menyantun dan memberi sumbangan wang tunai kepada setiap keluarga mangsa selama kira-kira 30 minit di PPS itu.

Yang di-Pertuan Agong turut sempat beramah mesra dengan beberapa keluarga yang meraikan sambutan Hari Krismas di pusat tersebut.

PPS yang dibuka sejak Isnin lalu itu kini menempatkan seramai 149 mangsa dari 49 keluarga termasuk 52 kanak-kanak dan dua bayi.  

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian daripada Pasukan Bencana Istana Negara.

Seri Paduka  kemudian berkenan berangkat meninjau proses pembersihan di Masjid Taman Sri Muda yang terjejas akibat banjir.

Yang hadir sama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya