Jadikan adat, budaya orang Melayu sebagai mata pelajaran - Utusan Malaysia

Jadikan adat, budaya orang Melayu sebagai mata pelajaran

RAIS Yatim menerima cenderahati daripada Azam Baki selepas beliau hadir menyampaikan ucaptama pada Kolokium Antirasuah 'Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegriti" di Auditorium D'Sury, JKKN Negeri Sembilan, Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan perlu memberi perhatian sewajarnya berhubung Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan agar perkara berkaitan adat dan budaya Melayu dapat dilaksanakan sebaiknya di dalam negara ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim menegaskan, perkara berkaitan definasi orang Melayu itu mesti dipromosikan sebaiknya kerana ia penting dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Dalam Perkara 160 itu mengenai definisi siapa Melayu itu, yang telah dilupakan adalah berkaitan ‘hendaklah mengamalkan adat istiadat Melayu’. Itu telah dilupakan dekad demi dekad dalam kesibukan mentadbir negara, definisi Perlembagaan Persekutuan itu seolah telah tidak terpakai.

“Promosi adat penting dalam sisi kehidupan kita bermasyarakat berbilang kaum, ia sudah tidak lagi diwujudkan malah sebagai satu kandungan mata pelajaran pendidikan, juga tidak dipromosi dan diadakan.

“Sistem pemerintahan kita juga tidak berasaskan diplomasi adat sedangkan adat itu membina tamadun Melaka, Negeri-negeri Melayu bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, semua istana juga ada adat-adat tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Kolokium Antirasuah ‘Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegriti” di Auditorium D’Sury, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd. Yusop dan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Dalam pada itu, Rais mencadangkan supaya perkara itu diberikan perhatian sewajarnya dan Peguam Negara perlu mengambil langkah dengan menasihatkan Perdana Menteri mengenainya.

“Saya hairan mengapa Perkara 160 ini tidak diberikan perhatian oleh pihak berkuasa, sekali gus saya mencadangkan supaya sama ada Peguam Negara menasihatkan kerajaan tentang adanya peruntukan ini ataupun Perdana Menteri mahupun Menteri Pendidikan sendiri, ambil berat mengenai kekosongan atau kelompongan ini dalam Perlembagaan negara,” katanya.

Ketika berucap sebelum itu, beliau menegaskan, kerajaan perlu menjadikan perkara mengenai adat dijadikan mata pelajaran di sekolah dan universiti serta diberikan peruntukan bagi memperkasakannya.

“Kenapa tidak dijadikan asuhan di sekolah, kenapa tidak dibawa ke universiti? Mengapa tidak diberikan peruntukan kepada JKKN ataupun jawatan kuasa lain, bagi mengasuh bagaimana adat itu boleh menjadi undang-undang.

“Pilihan pada kita, pada saya sebab ini tertera dalam Perlembagaan Malaysia dan kerajaan bertanggungjawab menjawab soal ini,” kata beliau.

Tambah Rais, sekiranya Perkara 160 itu ‘dihidupkan’ semula, masalah (salah faham) mengenai bahasa kebangsaan, agama Islam serta adat juga tidak akan timbul dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, kolokium berkenaan dianjurkan oleh JKKN Negeri Sembilan bersama SPRM bertujuan menyampaikan kesedaran nilai-nilai murni melalui platform Adat Perpatih sebagai wadah memerangi gejala rasuah dengan harapan mesej yang hendak disampaikan akan lebih berkesan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN