PETALING JAYA: Seorang wanita yang tular kerana dilihat mengangkut kotak ketuhar bersama beberapa individu membawa keluar barangan dipercayai dari premis Mydin Mart Sri Muda, Shah Alam,dekat sini menyifatkan kotak tersebut hanya berisi barangan keperluan makanan dan bukannya peralatan elektrik seperti didakwa warganet.
Menerusi perkongsian video di largh_dawson laman sosial semalam, seorang wanita yang turut kelihatan dalam video tular itu tampil menjelaskan tindakan lelaki tersebut dipercayai suaminya yang disifatkannya berlaku salah faham.
Katanya, ini kerana anaknya mengalami kelaparan selepas terkandas tiga hari di rumah mereka akibat banjir yang melanda itu.
“Itu bukan ketuhar, itu kotak (ketuhar) saja, saya letak biskut, letak sardin dan bukannya ketuhar, jika saya ambil ketuhar pun apa gunanya (sebab) saya (sudah) ada di rumah.
“Anak saya dah lapar, tiga hari tak makan, jadi buat apa nak bawa balik ketuhar.
“Tetapi saya faham juga kamu salah sangka ingat itu ketuhar, tetapi bukan. Jadi yang mana ambil gambar itu (hanya) ambil kesempatan.
“Ingat saya ini apa (orang yang bagaimana) ambil barang begitu, anak di rumah sudah tiga hari tak makan (tak akan) nak ambil benda macam itu, lagi tak masuk akal,” jelasnya.
Sebelum ini, insiden yang memaparkan beberapa individu itu mengangkut kotak peralatan elektrik mengundang kemarahan orang ramai yang dianggap sebagai perbuatan mencuri.
Bagaimanapun, Mydin Holdings (M) Bhd menghalalkan perbuatan memecah masuk dan mengambil barangan di dalam cawangan itu atas alasan untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan darurat. – UTUSAN ONLINE