MELAKA: Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Melaka Tengah bersedia menggerakkan 200 sukarelawannya untuk membantu mangsa banjir di negeri ini.
Yang Dipertuanya, Dr. Khair Razlan Othman berkata, Melaka pada tahun ini telah dua kali dilanda banjir dan sukarelawan melalui Relawan Muda Isma telah digerakkan bagi meringankan beban penduduk terjejas.
Menurut beliau, antara bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk pertolongan pembersihan kediaman dan agihan kit barangan keperluan asas.
“Cawangan Isma di Melaka Tengah dibuka pada 2007 sementara Alor Gajah pada 2016. Oleh itu, hubungan Isma dengan masyarakat setempat sudah lama terjalin dan ini memudahkan lagi komunikasi serta penyampaian maklumat kepada kami. Jika berlaku bencana alam, kami akan menghubungi pemimpin masyarakat terlebih dahulu untuk mengenal pasti kediaman yang terlibat. Setelah maklumat diterima, sukarelawan akan digerakkan ke lokasi untuk membantu kerja-kerja pembersihan.
“Baru-baru ini sebanyak 33 buah rumah di Bukit Beruang Bestari yang terlibat banjir diberi bantuan. Isma Pusat turut menghulurkan bantuan seperti tenaga kerja dan jet pam air bagi mempercepat kerja-kerja pembersihan,” katanya ketika ditemui. – UTUSAN ONLINE