SHAH ALAM: Sehingga semalam, sebanyak 15,899 laporan polis dibuat orang ramai yang menjadi mangsa banjir di kawasan ini pada 18 Disember lalu untuk melaporkan kerugian dan kerosakan dialami mereka akibat bencana tersebut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan berkata, beberapa langkah diambil termasuk menyediakan balai bergerak bermula semalam hingga 12 Januari untuk memudahkan mangsa banjir membuat laporan.
“Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, mengambil tindakan proaktif bagi mengurangkan bilangan mangsa banjir hadir ke balai dengan menyediakan kemudahan dua buah balai bergerak yang akan ditempatkan di lapan lokasi secara bergilir-gilir bermula pukul 8.30 pagi hingga 11.30 malam.
“Pada masa yang sama juga, dua buah Mobile Patrol Vehicle (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan digerakkan khusus di kawasan Seksyen 25 bagi memudahkan mangsa yang tidak mempunyai kenderaan untuk membuat laporan polis,” katanya.
Tambahnya, langkah berkenaan secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah mangsa ke Balai Polis untuk membuat laporan berkaitan banjir.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan balai polis seperti di Seksyen 6 dan 15 menjadi tumpuan mangsa-mangsa banjir untuk membuat laporan bagi menuntut bantuan kerajaan Selangor dan Pusat.
Dalam tinjauan di sana mendapati, orang ramai memenuhi pintu masuk di kedua-dua balai polis tersebut sebelum mereka dibenarkan pergi ke kaunter untuk membuat laporan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan tunai khas kepada setiap keluarga terjejas banjir sebanyak RM1,000 dan RM10,000 kepada waris yang kematian ahli keluarga dalam bencana tersebut.
Kerajaan Negeri Selangor turut menyediakan bantuan sama kepada keluarga mangsa di negeri ini seperti diumum Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari pada Isnin, 20 Disember lalu.
Dalam pada itu, Baharudin menegaskan IPD Shah Alam sentiasa peka dan prihatin dalam membantu mangsa banjir untuk mempermudahkan lagi urusan membuat laporan polis.
“Justeru warga Shah Alam yang menjadi mangsa banjir, boleh buat laporan polis di Balai Bergerak dan juga dengan bantuan MPV/URB di lokasi mereka berada,” jelasnya.
Berikut adalah lokasi balai bergerak disediakan IPD Shah Alam:
- Flat Valencia ( 8.30 pagi hingga 11.30 pagi).
- Flat Mediterranean ( 12.30 tengahari hingga 3.30 petang).
- Apartment Aurora ( 4.30 petang hingga 7.30 malam).
- Pangsapuri Damai ( 8.30 malam hingga 11.30 malam).
- GT Max Kedai Motosikal Seksyen 25 ( 8.30 pagi hingga 11.30 pagi).
- Bank Simpanan Nasional Seksyen 25 ( 12.30 tengahari hingga 3.30 petang).
- Public Bank Seksyen 25 ( 4.30 petang hingga 7.30 malam).
- Petron Seksyen 25 ( 8.30 malam hingga 11.30 malam).