PETALING JAYA: Pelakon Intan Ladyana dan suami yang juga penyanyi, Harris Alif terpaksa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mereka disahkan positif Covid-19.
Perkhabaran tersebut dikongsikan di entri Instagram Melodi, pada malam semalam.
“Pelakon Intan Ladyana terpaksa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh setelah disahkan positif Covid-19.
“Dia kini dikhabarkan hamil anak pertama dan suaminya juga disahkan positif Covid-19.
“Sama-sama kita doakan kesihatan Intan dan suami pulih seperti biasa,” kongsinya.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet turut berasa bimbang dengan pelakon tersebut yang dikhabarkan hamil selain menitipkan doa agar pasangan itu kembali sihat seperti sedia kala.
“Ya Allah, semoga virus Covid-19 itu segera sembuh untuk ibu muda ini. Kesian dia dan bayi,” komen seorang warganet.
“Allah permudahkan segalanya, cepat-cepat sihat kak Intan, suami serta bayi dalam kandungan itu,” komen juga seorang warganet.
“Allahuakbar, semoga cepat sembuh dan tiada perkara buruk yang berlaku. Semoga semuanya baik-baik sahaja,” tulis lagi seorang pengguna Instagram.
Walaupun pasangan dua sejoli itu tidak memuat naik sebarang perkongsian mengenai perkara tersebut, namun Intan ada berkongsi satu video di Instastory yang dilihat dia berada di dalam ambulans.