Buat individu yang tidak biasa makan sagu medong, ramai yang terkeliru ‘sagu Sarawak’ dengan butiran halus biji sagu berwarna putih yang biasa dijual di Semenanjung.
Pengusaha sagu, Faridah Durahman, 42, berkata, sagu medong adalah makanan tradisi masyarakat Melanau di Sarawak yang diperbuat daripada tepung sagu, santan, hampas padi serta kerisik.
“Bagi memberikan promosi terhadap makanan tradisional ini, saya melakukan inovasi dengan mempertingkatkan mutu produk sagu menjadikannya ia lebih rangup untuk menarik minat pembeli.
“Sagu ini masih diterima oleh masyarakat Melanau malah menjadi menu sihat sebagai makanan ruji atau ringan kerana bahan-bahan yang digunakan adalah bahan semulajadi,” katanya, ketika dihubungi, baru-baru ini.
Kata Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu, sagu medong yang dihasilkan perlu melalui proses pembakaran menggunakan dapur tradisional tanpa campuran minyak.
“Saya menghabiskan masa selama lebih kurang 12 jam sehari untuk menghasilkan sagu sebanyak lima tin besar biskut seberat hampir 70 kilogram (kg) setiap hari.
“Untuk tempahan, hubungi talian 013-841 8846,” katanya. – UTUSAN