KOTA KINABALU: Keputusan melebarkan sayap Parti Warisan (Warisan) ke Semenanjung Malaysia bukan agenda mahu menjadi Perdana Menteri.
Itu penjelasan Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari mengenai pendirian parti.
Beliau berkata, langkah melebarkan sayap parti itu sebagai satu usaha untuk memastikan rakan di Semenanjung mempunyai keyakinan politik yang sama dengan rakyat di Sabah dan Sarawak.
Katanya, tindakan melebarkan perjuangan parti ke Semenanjung Malaysia bukan keputusan yang terburu-buru.
“Perkara ini sudah beberapa kali dibincangkan di peringkat kepimpinan dan majlis tertinggi, tidak ada seorang pun menentang dalam mesyuarat.
“Jika UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh masuk ke Sabah. Tak kan kita (Warisan) tidak boleh ke Semenanjung.
“Namun, bukan bererti kita ke Semenanjung, kita bertanding di semua kawasan parlimen. Kita hanya akan bertanding di kerusi yang terpilih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas berkata, jika dilihat Warisan mendapat sambutan yang menggalakkan kerana rakyat di Semenanjung mula bosan dengan sebahagian parti di di sana.
“Untuk itu, mereka memohon agar Warisan kembangkan sayap ke Semenanjung kerana mereka ingin bersama-sama Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang dilihat sebagai pemimpin alternatif yang berpotensi,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, Warisan terus konsisten dalam mempertahankan kepentingan wilayah Sabah dan Sarawak. Ini termasuk memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan sepenuhnya.
Jelas beliau, sokongan rakyat di peringkat akar umbi terhadap Warisan masih kuat maka, Warisan akan terus bekerja keras untuk memastikan parti ini terus kekal relevan dan berjaya pada pilihan raya akan datang. -UTUSAN ONLINE