GEORGETOWN: Industri pelancongan domestik di seluruh negara tetap mendapat sambutan dalam kalangan rakyat walaupun terdapat kebimbangan mengenai varian Covid-19 baharu B.1.1.529 yang kini dinamakan Omicron.
Bagaimanapun, Pengarah Kanan Bahagian Promosi Domestik Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd. Yusof berkata, pemain industri pelancongan perlu sentiasa patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Permintaan untuk pelancongan domestik kita dapati meningkat selepas kebenaran rentas negeri, malah kita tingkatkan promosi pelancongan domestik sebagai usaha merancakkan lagi ekonomi negara.
“Kita juga dapati minat orang ramai untuk melancong telah berubah yang mana pelancong tempatan memilih untuk meneroka lokasi pelancongan yang kurang sesak dan selamat untuk keluarga masing-masing,” katanya selepas melancarkan program My Destination Sabah and Labuan to Penang di sini hari ini.
Varian Omicron pertama kali dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) muncul di Afrika Selatan pada 24 November lalu sekali gus menimbulkan kebimbangan baharu terhadap wabak Covid-19 di negara ini.
Menurut Iskandar Mirza, pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia seperti pakej penjawat awam dan pesara kerajaan turut mendapat sambutan menggalakan iaitu mencatatkan jualan lebih RM500,000 setakat bulan lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, Tourism Malaysia melancarkan program My Destination Sabah and Labuan to Penang untuk merangsang semula sektor pelancongan di Sabah, Labuan dan Pulau Pinang.
Katanya, ini kerana pada tahun lalu, prestasi pelancongan domestik di Sabah mencatatkan trend penurunan dari segi jumlah dan nilai yang didorong oleh penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negara.
“Jumlah ketibaan pelancong domestik ke Sabah menurun sebanyak 53.1 peratus, dengan jumlah pelancong 10.3 juta, berbanding 2019 yang mencatatkan seramai 22 juta pelancong domestik.
“Jadi program ini bertujuan memberi motivasi dan sokongan kepada operator pelancongan di Sabah dan Labuan bagi merangsang pertumbuhan semula industri pelancongan di sana selaras dengan peralihan Sabah dan Labuan ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Tambahnya, sebanyak 26 penggiat industri pelancongan dari Sabah dan Labuan terdiri daripada 23 agensi pelancongan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), AirAsia serta Palm Beach Resort and Spa telah menyertai program My Destination Sabah and Labuan to Penang.
“Kita menyasarkan 60 hingga 80 pembeli pakej pelancongan ke Sabah dan Labuan dari Wilayah Utara terdiri daripada jabatan kerajaan dan syarikat korporat sepanjang program ini berlangsung hari ini.
“Jumlah penerbangan terus dari Pulau Pinang dan Sabah serta sebaliknya iaitu membabitkan syarikat MAS empat kali seminggu juga dapat merancakkan lagi sektor pelancongan domestik terutama jumlah pelancong yang pergi ke kedua-dua negeri tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE