GEORGETOWN: Penemuan sekumpulan 50 ikan lumba-lumba di perairan berdekatan Jeti Teluk Kumbar di sini kelmarin, bukan petanda akan berlakunya bencana alam seperti kejadian ombak besar atau tsunami yang pernah terjadi di negeri ini 17 tahun lalu.
Sebaliknya, Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Aileen Tan berkata, penemuan hidupan marin itu adalah perkara biasa yang berlaku di perairan negeri ini khususnya ketika hujung tahun.
Mengulas lanjut, katanya, ketika ini adalah musim ikan lumba-lumba bermigrasi mencari sumber makanan.
“Setiap hujung tahun hingga awal tahun, penemuan ikan lumba-lumba adalah lebih kerap. Masa ini juga adalah musim migrasi untuk ikan tuna dan kembung.
“Kehadiran ikan lumba-lumba itu bukan petanda bencama kerana setiap tahun pada waktu yang sama kekerapan penemuan ikan lumba-lumba adalah lebih tinggi. Kebetulan tiupan angin juga berlaku berdekatan pada dua tiga hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pulau Pinang pernah dilanda bencana tsunami pada 26 Disember 2004 sehingga mengakibatkan 52 mangsa terkorban dan 141 cedera dalam kejadian kira-kira 1.30 petang.
Kelmarin, sekumpulan tiga nelayan pantai dilaporkan terpegun ketika terserempak dengan kumpulan kira-kira 50 ekor ikan lumba-lumba berhadapan dengan Jeti Nelayan Teluk Kumbar.
Spesies dilindungi dengan anggaran saiz sehingga dua meter itu ditemukan pukul 1.30 petang ketika mereka dalam perjalanan menangkap ikan di kawasan Pulau Rimau.
Pada bulan lalu juga, sekumpulan nelayan turut terserempak dengan spesies ikan lumba-lumba dan yu paus sepanjang tujuh meter berhampiran perairan Pulau Kendi di sini. – UTUSAN ONLINE