KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat penghantaran jelik dan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sebuah blog, tahun lalu.
Hakim M. M Edwin Paramjothy mengenakan denda itu terhadap Lai Yuet Ming, 65, selaku orang kena saman (OKS) selepas wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.
Tertuduh mengaku bersalah dalam prosiding pada 6 Disember lalu manakala hari ini ditetapkan untuk hukuman.
Mengikut pertuduhan pertama, Yuet Ming didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Muhyiddin yang ketika itu berjawatan Perdana Menteri dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui sebuah blog pada 23 Mac tahun lalu.
Bagi pertuduhan itu OKS didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Sementara pertuduhan kedua, Yuet Ming didakwa secara sedar telah membuat kenyataan-kenyataan membabitkan Yang di-Pertuan Agong dalam blognya pada 21 Mac tahun lalu.
Perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya.
Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman masing-masing pukul 1.40 petang pada 6 Mei dan pukul 10 malam pada 21 Mac.
Bagi pertuduhan melibatkan melibatkan Seri Paduka, tertuduh didenda RM6,000 atau penjara enam bulan manakala untuk pertuduhan berkenaan Muhyiddin, OKS didenda RM4,000 atau penjara tiga bulan.
Sekiranya OKS gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara berjumlah sembilan bulan dan OKS membayar denda berkenaan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Najihah Farhana Che Awang manakala Yuet Ming diwakili peguam Rajsurian Pillai.