KULIM: Seorang suri rumah kesal dengan perbuatan individu tertentu menggunakan gambar bayinya yang menghidap pelbagai penyakit dan cacat anggota badan untuk memohon bantuan bagi kegunaan diri sendiri.
Malah individu terbabit menggunakan akaun bank yang bukan miliknya.
Noorazlinawati Hashim, 39, berkata, perkara itu disedari pada Oktober lalu oleh rakan-rakannya apabila melihat paparan dalam status aplikasi media sosial oleh individu tersebut yang menggunakan gambar bayi perempuannya dengan memberikan nombor akaun bank.
Menurutnya, gambar Nur Shafiyyah Hajatul Razli, berusia lima bulan, digunakan untuk memohon bantuan kononnya bagi anaknya.
“Kejadian itu disedari rakan-rakan saya dan mereka segera meminta individu terbabit menghentikan perbuatannya itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Pagar Museh, Batu Puteh di sini semalam.
Cerita Noorazlinawati, Nur Shafiyyah Hajatul menghidap pelbagai komplikasi penyakit sejak lahir berikutan disahkan menghidap Diabetic Embryopathy yang menyebabkan keabnormalan pada otak, sistem gastrik serta tulang, jantung dan saluran renal.
Bayinya itu turut mengalami kecacatan pada kaki dan telinganya.
“Kedudukan kepala lututnya pula berubah ke belakang dan tidak mempunyai lubang dan cuping telinga tidak normal serta dikesan mengalami masalah lebihan cecair dalam otak,” jelasnya.
Katanya, bagi mendapatkan rawatan susulan, doktor menyarankan anaknya membuat pemeriksaan bulanan di Hospital Pulau Pinang (HPP), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Kulim.
“Kos rawatan dan perubatan serta pengangkutan Nur Shafiyyah setiap bulan lebih RM500,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Noorazlinawati (013-4489378) atau salurkan ke akaun Maybank miliknya, 157081308826.