Ibu didakwa sebabkan kematian anak lelaki - Utusan Malaysia

Ibu didakwa sebabkan kematian anak lelaki

R. Kaleswary didakwa di mahkamah hari ini atas dua pertuduhan mendera dan menyebabkan kematian anak lelakinya yang berusia lima tahun pada 3 Disember lalu di Johor Bahru. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kematian anak lelakinya yang berusia lima tahun, awal bulan ini.

Tertuduh, R. Kaleswary, 35, mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Normadiana Mamat. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan bagi pendakwaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kaleswary telah dengan sengaja menyebabkan kematian P.J. Samsoon Paul di sebuah premis di Taman Tan Sri Yaakub, Iskandar Puteri antara pukul 9 pagi hingga 12.20 tengah hari, 3 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh bersama teman lelakinya, Muhammad Iskandar Abdullah, 32, turut berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan secara bersama telah menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di lokasi sama antara April hingga 3 Disember lalu.

Kaleswary mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan manakala Muhammad Iskandar yang bekerja sebagai penghantar gas mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Hukuman terhadap Kaleswary bagaimanapun ditangguh terlebih dahulu kerana menunggu laporan bedah siasat yang lengkap.

Pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Iskandar diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien dan M. Raveena. Tarikh 27 Januari dan 15 Februari tahun depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan bedah siasat mangsa.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kedua-dua tertuduh telah ditahan polis selepas mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 3 Disember lalu bagi mendapatkan rawatan.

 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati kecederaan di mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan kemungkinan akibat didera.

 

Habis

 

  1. Kaleswary didakwa di mahkamah hari ini atas dua pertuduhan mendera dan menyebabkan kematian anak lelakinya yang berusia lima tahun pada 3 Disember lalu di Johor Bahru. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya