KUBANG PASU: Ibu bapa dan waris murid di Sekolah Kebangsaan Darulaman Heights (SKDH), Bandar Darulaman, Jitra di sini mendesak guru di sekolah itu yang tidak menerima vaksin Covid-19 ditukar ke tempat lain pada sesi persekolahan tahun depan.
Mereka juga membantah guru terbabit berada di sekolah itu kerana dibimbangi mengancam keselamatan murid-murid yang hadir di sekolah berkenaan.
Menurut seorang bapa, Mohd. Huzainy Ahmad, 44, ibu bapa dan waris mengharapkan pihak sekolah itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengambil tindakan tegas terhadap guru yang tidak divaksin.
“Kami menuntut tindakan tegas diambil terhadap guru tersebut demi keselamatan murid-murid di sekolah ini memandangkan penularan Covid-19 masih belum reda. Jika guru terbabit tidak mahu divaksin, sila keluar dari sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai perhimpunan aman bagi membantah keberadaan guru tidak divaksin di hadapan SKDH, Bandar Darulaman, Jitra di sini hari ini.
Mohd. Huzainy selepas itu juga turut menyerahkan memorandum kepada Guru Besar SKDH, Burhanurdin Hasan.
Menurutnya, dia difahamkan pihak sekolah menempatkan sementara guru tersebut di surau sekolah itu dan tidak membenarkannya mengajar secara bersemuka, namun guru itu dikatakan tidak berada di dalam surau sepanjang masa dan tetap juga bergerak di kawasan sekolah.
Tambahnya, belau juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu semalam agar tindakan segera dapat diambil oleh pihak berwajib.
Seorang lagi bapa pelajar di situ, M. Hasbee Fathil, 44, berkata, beliau berharap guru itu dapat ditukarkan ke tempat lain dengan segera kerana difahamkan tanggungjawab mengajar oleh guru itu terpaksa pula ditampung oleh guru-guru lain yang berada di sekolah berkenaan.
“Ini sudah tentu menambah beban guru-guru lain. Justeru kami berharap supaya tindakan segera dapat diambil tidak hanya demi keselamatan murid dan guru lain, malah demi menampung keperluan pembelajaran di sini.
“Perkara ini sudah kami bangkitkan sejak minggu lepas lagi tetapi sampai sekarang masih tiada tindakan diambil oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan JPN Kedah.
“Difahamkan dalam daerah ini saja terdapat 28 guru yang enggan divaksin dan salah seorang daripada mereka berada di SKDH ini,” katanya.
Dalam pada itu, JPN Kedah menerusi satu kenyataan ringkas memaklumkan, laporan berhubung isu tersebut telah disiapkan dan akan dihantar kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan lanjut.