DENGKIL: Ibarat putus nyawa. Itu luah penduduk Kampung Orang Asli Sri Tanjung, Pasah Ismail, 37, berhubung masalah dihadapi komuniti tersebut di daerah Sepang terutama di sini, berhubung jambatan di pekan Dengkil yang runtuh sejak 17 Disember lalu.
Menurutnya, penutupan jambatan tersebut sebelum bencana banjir berlaku menyebabkan urusan penduduk tergendala terutama mendapatkan bekalan barangan keperluan dan menyelesaikan perkara penting di pekan.
“Untuk saya yang hari-hari perlu ke pekan, apabila tiada jambatan ini ia ibarat putus nyawa. Penduduk terpaksa melalui jalan jauh dan masuk ke laluan utama Kampung Dato’ Ahmad Razali, Dengkil.
“Sudahlah sewaktu banjir dan laluan Kota Warisan ditutup, kami terkepung tak boleh nak keluar mencari sumber makanan. Sekarang banjir sudah surut, berdepan pula masalah jambatan runtuh di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam..
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meninjau ke lokasi jambatan runtuh tersebut.
Ibu kepada dua anak itu berkata, dia memikirkan anak-anak penduduk di kawasan tersebut yang mahu ke sekolah kerana perlu melalui jalan jauh yang sering sesak dengan kenderaan.
“Kami berharap proses membaik pulih jambatan ini dapat berjalan lancar supaya ia siap segera untuk kegunaan dan kemudahan penduduk di sekitar sini kerana ini salah satu ‘nyawa’ penduduk,” katanya.
Pembantu kedai, Mohd. Azman Md. Zamri, 46, yang juga penduduk Kampung Sri Tanjung berkata, dia terpaksa melalui jalan sejauh kira-kira 15 kilometer (km) untuk ke pekan kerana terputus jalan dekat melalui jalan itu.
“Jambatan ini laluan utama untuk penduduk bukan sahaja ke pekan Dengkil, malah ke daerah Kuala Langat untuk menyelesaikan urusan. Selain itu, Klinik Kesihatan Dengkil juga di dalam pekan dan memanglah ada klinik swasta lain tetapi perlu mengeluarkan kos.
“Saya ada empat anak kesemuanya berusia antara 13 hingga tujuh tahun. Sekiranya jambatan ini siap sepenuhnya, ia memudahkan ibu bapa untuk menghantar ke sekolah kerana lebih dekat berbanding menggunakan laluan Kampung Dato’ Ahmad Razali,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, terdapat hakisan tanah di Sungai Langat menyebabkan jambatan itu runtuh dan kerja pembaikan sedang dijalankan termasuk pemasangan cerucuk selain beberapa urusan pencegahan banjir.
“Kita sedang baiki hakisan tersebut dan menjangkakan tarikh paling awal adalah pada 20 Januari ini untuk jambatan ini siap serta dibuka semula dua atau tiga hari selepas itu iaitu setelah mendapat taraf selamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE