i-Citra: Rakyat bukan saja-saja tuntut pengeluaran RM10K - Asyraf Wajdi - Utusan Malaysia

i-Citra: Rakyat bukan saja-saja tuntut pengeluaran RM10K – Asyraf Wajdi

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Ahmad Dasuki memohon mana-mana pihak sama ada kerajaan atau kesatuan sekerja untuk tidak berterusan menggunakan alasan simpanan hari tua berhubung permohonan pengeluaran wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000.

Beliau berkata, situasi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hakikatnya amat sukar bagi kebanyakan rakyat, apatah lagi yang hilang punca pendapatan akibat diberhentikan, dicutikan tanpa gaji, dipotong gaji dan perniagaan yang tidak menjadi sejak awal tahun.

Katanya, ramai yang dibebani komitmen dan hutang tertunggak, malah ada yang sudah mula meminjam sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long yang lebih membawa kepada mudarat, kini ramai pula bagaikan jatuh ditimpa tangga akibat musibah banjir.

“Ramai yang mengadu perkiraan awal membaiki kereta yang rosak akibat diselami air secara purata RM4,000, bahkan ada yang mencecah hingga berbelas ribu. Ini belum lagi diambil kira kerosakan rumah, perkakas elektrik, perabot dan pelbagai keperluan lain untuk memulakan kehidupan baharu pasca musibah.

“Benar, Bantuan Wang Ihsan RM1,000 dijanjikan kerajaan untuk mangsa banjir, namun jumlah tersebut sekalipun dapat mengurangkan beban tetapi belum mencukupi.

“Benar, alasan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan disokong pula kesatuan sekerja bahawa rakyat harus berwaspada simpanan hari tua. Namun, kondisi rakyat ketika ini menuntut tindakan di luar norma biasa.

“Janganlah berterusan guna alasan 20 peratus tidak ada simpanan untuk hari tua, 45 peratus hanya ada simpanan bawah RM10,000,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan Utusan Online terhadap ruangan komen dalam laman sosial Facebook Menteri Kewangan semalam yang dihujani permohonan pengeluaran itu meskipun Tengku Zafrul memberi penjelasan berhubung inisiatif-inisiatif ditawarkan kerajaan terhadap mangsa yang terjejas banjir.

Menurut Dr. Asyraf Wajdi, realiti yang memohon itu adalah berikutan masih mempunyai wang tersimpan di KWSP yang banyak, maka atas sebab itulah mereka menuntut pengeluaran tersebut.

“Jika peluang terakhir diberikan, Pemuda UMNO percaya rakyat boleh mulakan kehidupan baharu dan bekerja lebih kuat untuk menampung caruman demi keperluan hari tua nanti.

“Pemuda UMNO konsisten memperjuang isu ini sejak i-Sinar dan i-Lestari dahulu kerana ratusan yang mengadu dan berharap hampir setiap hari kepada kami memang benar-benar dalam keadaan susah dan terdesak,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya