Hutan di P. Pinang berisiko tanah runtuh - Utusan Malaysia

Hutan di P. Pinang berisiko tanah runtuh

(Dalam bulatan) LOKASI Hutan Simpanan Kekal yang berisiko berlakunya bencana tanah runtuh di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebanyak sembilan lokasi hutan simpan kekal di negeri ini yang bertinggian melebihi 300 meter didakwa berdepan risiko tragedi tanah runtuh termasuk kawasan bercerun yang kurang stabil akibat gangguan aktiviti manusia.

Setiausaha Kehormat Saha­bat Alam Malaysia (SAM), S. Ma­geswari berkata, Rancangan Fizikal Negara Ke-3 (RFN3) menggariskan komponen risiko tanah runtuh adalah di kawasan berketinggian melebihi kontur 300 hingga 1,000 meter serta bercerun.

S MAGESWARI

Menurutnya, RFN3 menyatakan kawasan berisiko berlaku tanah runtuh di negeri ini adalah melibatkan HSK Teluk Bahang; Bukit Kerajaan; Highland; Laksamana; Bukit Penara; Bukit Relau; Bukit Mertajam; Bukit Seraya dan sebahagian kecil di Gelugor.

“Prinsip mencegah dan mengurangkan risiko bencana perlu diutamakan termasuk kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi kejadian tanah runtuh dan penyelenggaraan ke atas cerun bermasalah.

“Langkah berjaga-jaga perlu diambil lebih-lebih lagi dalam keadaan perubahan iklim apabila kita akan berhadapan dengan ribut serta hujan lebat yang lebih kerap, berpotensi mencetuskan tanah runtuh di kawasan berisiko,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau memberitahu, kerajaan mengumumkan projek Peta Bahaya dan Risiko Cerun atau (PBRC) bagi mengenal pasti serta melakukan pemetaan bahaya dan risiko cerun.

Berdasarkan peta sedia ada itu tambah beliau, kerajaan negeri perlu mengelakkan risiko baharu daripada berlaku dengan mengawal serta menghentikan sebarang pembangunan yang berpotensi menyebabkan tanah runtuh.

“Selain itu, mengurangkan risiko sedia ada dengan pemantauan rapi lokasi yang bahaya terutamanya semasa musim hujan serta menubuhkan pasukan khas bagi memantau kawasan cerun atau lereng bukit supaya dapat memberi amaran awal kepada penduduk berdekatan serta pengguna jalan raya.

“Pihak terbabit juga seharusnya memberi kesedaran kepada rakyat yang berpotensi terjejas tentang langkah-langkah keselamatan ketika berdepan bencana,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya memberi saranan dan peringatan kepada kerajaan supaya tidak meluluskan sebarang pembangunan yang melibatkan kawasan cerun, lereng bukit serta lokasi berisiko tanah runtuh bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN