Hujan lebat, banjir, tanah runtuh turut musnahkan Jeram Toi

Hujan lebat, banjir, tanah runtuh turut musnahkan Jeram Toi

KEADAAN Taman Eko Rimba Jeram Toi yang musnah akibat kejadian tanah runtuh serta banjir di Jelebu, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Kejadian tanah runtuh, banjir dan arus deras yang berlaku susulan kejadian hujan lebat kelmarin turut memusnahkan Taman Eko Rimba Jeram Toi yang cukup popular dalam kalangan penduduk di negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati berlaku banyak kerosakan berlaku di kawasan hutan lipur tersebut termasuk runtuhan infrastruktur malah pintu gerbangnya turut lenyap.

Pemandangan air terjun dan sungai yang sebelum ini jernih kini bertukar berlumpur serta berselut.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata, pihaknya kini sedang menilai kerosakan disebabkan kejadian tanah runtuh berkenaan.

“Untuk makluman awal kerajaan negeri telah mengarahkan semua hutan lipur ditutup sementara bermula hari ini ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak memandangkan keadaan cuaca yang berterusan hujan.

“Kami juga menasihatkan agar orang ramai tidak mendekati semua kawasan hutan lipur dan kawasan pendakian buat masa ini sehingga dimaklumkan oleh pihak jabatan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya lagi.

Saleh berkata, sebelum ini, pihaknya sudah menutup terlebih awal Hutan Simpan Kenaboi yang juga Hutan Taman Negeri bagi sebarang aktiviti pendakian mahupun perkhemahan atas faktor cuaca.

Menurutnya lagi, tindakan serupa akan dilakukan ke atas semua gunung dan bukit yang memerlukan permit untuk memasukinya atas risiko yang sama.

“Antara risiko berkenaan ialah tanah runtuh, pokok tumbang dan kejadian kepala air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN