PUTRAJAYA: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) sekali lagi sedia membantu Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan imunisasi dos penggalak kepada rakyat negara ini.
Presidennya, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, langkah ini dapat menggalakkan mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin untuk mendapatkan pula imunisasi perlindungan tambahan itu.
“Kami sedia bekerjasama dengan pihak kementerian dan agensinya, ProtectHealth dengan menawarkan apa sahaja sumber yang dimiliki hospital swasta,” katanya menerusi kenyataan.
Ketika ini dianggarkan lebih 160,000 individu menerima suntikan dos penggalak setiap hari di seluruh negara dengan jumlah kumulatif setakat semalam sudah mencecah 4,274,115 orang.
Kerajaan melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Booster sejak 10 November lalu bagi individu berusia 40 tahun ke atas dan mereka yang ada penyakit komorbiditi.
Inisiatif itu telah bermula pada 13 Oktober lalu bagi petugas barisan hadapan dan warga emas berumur lebih 60 tahun selepas negara melepasi 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksin.
PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas melibatkan lebih 500 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum disusuli PICK Remaja meliputi 3.2 juta individu yang bermula akhir bulan lalu.
Mengulas lanjut, Kuljit berkata, banyak hospital swasta di negara ini sudah menawarkan PICK Booster kepada warga emas berdasarkan temujanji ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera.
“Sekarang pun, kami sudah membuka perkhidmatan ini kepada semua berdasarkan kriteria digariskan kementerian dan ia terbukti berjalan lancar tanpa ada sebarang masalah,” katanya.
Meskipun tidak menyatakan secara spesifik, beliau dipercayai merujuk peringatan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam yang memberi tempoh akhir sehingga Februari 2022.
Mereka enggan disuntik dos penggalak selepas bulan itu akan menerima status vaksinasi bertukar sebagai tidak lengkap dan tidak layak mendapat kemudahan individu lengkap vaksin.
Sehubungan itu, Kuljit menyeru individu yang sudah memperoleh temujanji dos tersebut agar datang pada tarikh ditetapkan dan bukan menunggu saat-saat akhir bagi elak kesesakan.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa kesemua hospital anggota APHM juga bersiap siaga untuk menerima kemasukan pesakit Covid-19 daripada kes varian Omicron. -UTUSAN ONLINE