Hilang kawalan, masuk laluan bertentangan ragut tiga nyawa  - Utusan Malaysia

Hilang kawalan, masuk laluan bertentangan ragut tiga nyawa 

BAHRIN MOHD. NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Hilang kawalan dan diseret lori treler dipercayai faktor kemalangan yang meragut tiga nyawa dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 152 Jalan Johor Bahru – Seremban di Labis, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kenderaan yang dipandu salah seorang mangsa yang maut hilang kawalan. 

Kereta jenis Hyundai Sonata yang dipandu S. Pannir Selvam, 56, itu terbabas sehingga dipercayai memasuki ke laluan bertentangan dan berpusing. 

Pada waktu sama, lori treler yang dipandu Shazali Solehan, 43, dari arah Segamat menuju ke Johor Bahru tiba dan cuba membrek serta mengelak ke sebelah kanan jalan. 

“Pemandu lori treler kemudian melanggar di bahagian rusuk tepat sebelah kanan kereta dipandu S. Pannir. Akibat pelanggaran tersebut, lori treler telah berpusing ke tepi sebelah kiri jalan menghala ke Segamat. 

“Malangnya dalam masa yang sama, kereta jenis Proton Iswara dipandu Kamarul Zaman Abdul Shukor, 42, yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Segamat telah dilanggar dan diseret oleh lori treler hingga termasuk ke dalam longkang kecil di tepi sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Pannir Selvam yang cedera di kepala dan badan telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala S. Meenalatha, 35, yang berada di dalam kenderaan sama meninggal dunia di Hospital Segamat. 

Seorang lagi penumpang, K. Puspawale, 64, mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Kamarul Zaman yang turut mengalami kecederaan di kepala dan badan maut di tempat kejadian manakala anaknya, Mohamad Amirul Hakimi, 18, mengalami cedera ringan. 

Kereta milik Kamarul Zaman dilaporkan mengalami kerosakan di seluruh bahagian kenderaan, manakala pemandu lori treler yang cedera di bahagian kepala masih dalam rawatan di Hospital Segamat. 

Siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya