KUALA TERENGGANU: Rakyat dinasihatkan tidak terus menuding jari dan menghentam kerajaan dalam soal pengurusan banjir baru-baru ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, dalam tempoh negara berdepan krisis bencana, rakyat sepatutnya berganding bahu dengan para pemimpin bagi menyelesaikan setiap kelemahan yang timbul.
“Saya tertarik melihat kerajaan bergabung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turun ke lapangan, malah bekerja bersungguh-sungguh, cuma kita kena sedar yang bencana alam ini tidak diduga, jadi biasalah jika ada kelemahan.
“Jangan menumpukan kepada kelamahan sahaja untuk kritik dan hentam kerajaan sebaliknya perlu bersama-sama menyelesaikan kelemahan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan sikap dan cara negara ini dipimpin tatkala rakyat berbilang kaum dirundung banjir.
Menurut Anwar, kelemahan-kelemahan utama berhubung tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana kini terpampang jelas termasuk tindakan lembab Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selain penyelarasan kucar-kacir pihak kerajaan dan agensi-agensi tempatan yang sekali gus mewujudkan malapetaka dalam tadbir urus.