PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd. Yunus boleh didenda RM1,000 sekiranya didapati melakukan kesalahan melanggar perintah kuarantin di rumah.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan sedang melakukan siasatan terhadap dakwaan beliau melanggar perintah kuarantin di rumah selepas melakukan lawatan rasmi ke luar negara.
Katanya, Hasanuddin ada membuat permohonan untuk pengecualian kuarantin bagi menghadiri persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki untuk perjalanan 8 hingga 12 Disember.
“Beliau menghadiri persidangan tersebut bersama tiga lagi wakil dan pengecualian kuarantin itu diberikan kerana protokol ujian dan pelepasan untuk perjalanan rasmi.
“Namun, Pusat Tindak Balas dan Kesiapsiagaan Krisis (CPRC) menerusi emel pada 20 Disember kepada beliau mengeluarkan perintah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Khairy berkata, Hasanuddin tiba di negara ini pada 22 Disember, justeru, pengecualian kuarantin yang diterima sebelum ini ditolak sekali gus beliau diminta melakukan kuarantin di rumah.
“Oleh itu kita sedang menyiasat perkara ini, di mana beliau telah pergi, ke Turki, Iran dan Pakistan serta di mana sahaja beliau telah berada.
“Sekiranya benar beliau melanggar perintah kuarantin di rumah, beliau boleh didenda RM1,000,” katanya.
Terdahulu, Hasanuddin dikritik rakyat selepas berkongsi gambar beliau berada di sebuah pergunungan Iran pada akaun Facebook sedangkan pada waktu itu, kawasan di Hulu Langat dilandar banjir.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan bersama lain-lain agensi mengambil tindakan memperkukuh kawalan di pintu masuk antarabangsa serta saringan ke atas golongan yang berisiko tinggi.
Menurut Khairy, ia berikutan risiko penularan varian Omicron di seluruh dunia serta pengesanan kes Covid-19 varian Omicron di Malaysia.
Kata beliau, mulai 22 Disember lalu, Kerajaan Negeri Sarawak juga memperkukuh kawalan pintu masuk antarabangsa dengan mewajibkan semua pengembara dari luar negara dikuarantin di Pintu Masuk Antarabangsa yang pertama di Malaysia sebelum dibenarkan memasuki Sarawak atau meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya
“Ini termasuk wajib memiliki keputusan RT PCR yang negatif sebelum diberi pelepasan dari kuarantin,” katanya.