Harta RM6 juta dilucut hak bukan milik Abd. Latif sahaja - Peguam

Harta RM6 juta dilucut hak bukan milik Abd. Latif sahaja – Peguam

ABD. LATIF BANDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pihak guaman kepada bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi menjelaskan kesemua kenderaan mewah yang merupakan antara keseluruhan harta bernilai RM6 juta yang dilucut hak bukanlah milik beliau semata-mata.

Rahim, Aidil & Partners dalam satu kenyataan berkata, laporan akhbar yang dikeluarkan menggambarkan seolah-olah Abd. Latif telah memperoleh kekayaan yang tidak wajar sepanjang menjawat sebagai Exco Negeri Johor. 

Menurut kenyataan itu, jumlah pelucutan hak sebanyak RM6 juta adalah merujuk kepada keseluruhan harta-harta yang terlibat dan bukannya melibatkan anak guam mereka sahaja. 

“Merujuk siaran media mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak harta-harta Abd. Latif, ia bukanlah kesemuanya milik Abd. Latif seperti yang digambarkan.

“Kami ingin menegaskan jumlah pelucutan hak sebanyak RM6 juta adalah merujuk kepada keseluruhan harta-harta yang terlibat dan bukannya melibatkan anak guam kami semata-mata. Laporan media bertarikh 20 Mei 2019 boleh dirujuk di mana harta-harta yang dipohon untuk dilucut hak adalah RM1.58 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam, akhbar melaporkan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, di sini membenarkan SPRM melucut hak harta bernilai lebih RM6 juta milik Abd. Latif, anak dan menantunya.

Antara harta yang dilucut hak adalah 19 kereta mewah termasuk Mercedes Benz G63 AMG, Bentley Continental GT Coupe, Land Rover Proversport, Porsche Cayenne, Nissan Skyline, Toyota Vellfire dan Honda HRV. 

Selain itu, turut dilucut hak adalah 16 utas jam tangan mewah, 15 beg tangan mewah, 15 barangan kemas serta pelbagai mata wang asing seperti Singapura, Hong Kong, Kuwait, Korea dan Jepun.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan SPRM itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Mei 2019 yang menolak permohonan pihak pendakwaan dan memerintahkan semua harta yang disita perlu dikembalikan kepada pemilik berdaftar.

Sementara itu, Rahim, Aidil & Partners turut menekankan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi semalam adalah merujuk kepada rayuan SPRM dan percaya anak guam mereka mempunyai prospek rayuan yang cerah di Mahkamah Rayuan kelak.

“Keputusan Mahkamah Tinggi perlu dihormati dan anak guam kami juga akan melaksanakan segala hak undang-undang termasuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Untuk rekod, anakguam kami telah pun memfailkan rayuan, semalam. Kami memohon pihak media dapat memperbetul kenyataan yang dilaporkan di dalam media-media agar tiada sebarang salah faham yang berlaku dan memburukkan lagi imej dan pandangan umum terhadap anak guam kami,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya