PETALING JAYA: Biarpun sudah menang 3-0, namun pengendali Vietnam, Park Hang-seo tetap melancarkan perang psikologi dengan menegaskan anak-anak buahnya berdepan detik sukar untuk mengatasi Harimau Malaya di Stadium Bishan, malam kelmarin.
Jurulatih berusia 64 tahun itu mengakui, kemenangan ke atas Harimau Malaya menambah keyakinan Naga Emas untuk meneruskan perjuangan mereka bagi mempertahankan gelaran edisi lalu.
“Ia sentiasa menjadi perlawanan yang sukar ketika turun menentang Malaysia dan saya gembira dengan kemenangan ini.
“Saya menaruh kepercayaan kepada pemain saya dan berpuas hati dengan kemenangan ini. Namun saya tidak boleh menjawab sama ada (keputusan) ini menjadikan kami sebagai pasukan pilihan (juara) ketika ini,” kata Hang-seo yang memimpin Naga Emas merangkul kejuaraan Piala AFF 2018.
Kemenangan yang diraih Vietnam pada aksi kedua mereka dalam Kumpulan B itu menyaksikan Naga Emas berada di kedudukan kedua, berkongsi enam mata bersama Indonesia dan Malaysia yang menghuni tangga teratas dan ketiga.
Anak buah Hang-seo yang dilabel sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara akan turun berdepan Indonesia di Stadium Bishan, esok sebelum mengharungi aksi terakhir Kumpulan B menentang Kemboja di gelanggang sama, Ahad ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pasukan Indonesia, Hang-seo menganggap pasukan tersebut sebagai satu lagi lawan sukar yang terpaksa mereka atasi dalam aksi peringkat kumpulan.
“Di bawah ketua jurulatih Shin Tae-yong, mereka (Indonesia) sudah banyak meningkat dari segi kecergasan dan bermain dengan teratur.
“Seperti yang anda tahu, Shin Tae-yong adalah jurulatih berprofil tinggi, dia pernah melatih pasukan kebangsaan Korea Selatan. Jadi, kita tidak perlu bercakap mengenai kredibilitinya,” ujar jurulatih dari Korea Selatan itu.